MAJLIS BELIA MALAYSIA

Gerakan Belia Sebagai Warisan Tidak Ketara Nasional (National Intangible Heritage)

Oleh:

Muhamad Hanapi Jamaludin

Ketua Penerangan Gerakan Belia 4B Malaysia

Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia

Laporan Bank Dunia 2020 mengisyaratkan bahawa pandemik ini sebagai ujian dan cabaran sebenar daya tahan dan kemandirian golongan belia untuk memastikan pembangunan belia yang kalis masa depan (future proof). Cabaran daripada segi ekonomi, pekerjaan, kesihatan mental, pendidikan serta jurang digital dan teknologi adalah antara beberapa contoh yang perlu ditangani dengan efisien dan strategik.

Pandemik Covid-19 menuntut suatu perubahan budaya fikir dan cara kerja. Penekanan khusus kepada agenda pendigitalan, pendekatan dipacu data dan mendayaguna data raya bagi mempersiapkan belia malaysia ke arah masyarakat 5.0 menjadi fokus utama dalam Model Baharu Pembangunan Belia yang digubal dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini.

Model Baharu berkenaan mengambil kira persekitaran Covid-19 yang dijangka akan mengubah banyak tatacara kerja. Tindakan intervensi kerajaan melalui dokumen ini sebagai edisi komplimen berdasarkan kes khas kepada Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015 dilihat sebagai langkah proaktif untuk menguruskan masa depan yang mencabar.

Kita seharusnya sedar bahawa dunia sedang berada di persimpangan sejarah besar yang menuntut kesediaan diri untuk menghadapi segala kemungkinan yang berlegar di sekitar. Dalam tempoh 100 tahun selepas pandemik Spanish Flu menyerang dunia pada tahun 1918 warga dunia sekali lagi dikejutkan oleh pandemik Covid-19 ini.

Banyak yang telah diberitakan kesan emosi dan fizikal terhadap negara dan masyarakat yang terkena tempiasnya. Syarikat raksasa gulung tikar, konglomerat gergasi rebah, jutaan manusia seluruh dunia hilang mata pencarian dan berbagai lagi. Justeru itu, bagi menghadapi gelora ketidaktentuan masa depan global ini, haruslah kita menyediakan panduan malarsegar yang dapat dijadikan pedoman sepanjang hayat untuk ditanamkan dalam hati para pemuda.

Dapatan kajian daripada Khazanah Research Institute (13 April 2020) yang dibentangkan dalam kertas bertajuk Cabaran dan Strategi Pasca-Pandemik Untuk Belia menunjukkan trend yang mencemaskan. Kebanyakan ahli ekonomi meramalkan kesan Covid-19 adalah lebih buruk berbanding Krisis Kewangan Global (Global Financial Crisis – GFC) pada tahun 2009 dan Krisis Kewangan Asia (Asian Financial Crisis – AFC) pada tahun 1998. Sebagai perbandingan, kadar pengangguran keseluruhan di Malaysia ketika kedua-dua krisis tersebut ialah sebanyak 3.7% (2008 = 3.3%) dan 3.2 % (1997 = 2.4%). Kadar pengangguran belia berumur 15-24 tahun juga meningkat pada kedua-dua krisis tersebut iaitu sebanyak 11.9 % pada tahun 2009 (2008 = 10.9%) dan 8.7% pada tahun 1998 (1997 = 7.0%). Kadar pengangguran belia akan turut menunjukkan trend yang meningkat berbanding tahun 2019.

Organisasi Buruh Antarabangsa (International Labour Organization – ILO) juga telah mengunjurkan pengangguran global pada tahun 2020 dijangka meningkat antara 193.3 juta sehingga 212.7 juta berbanding jumlah penganggur dicatatkan pada tahun 2019 iaitu sebanyak 188 juta (kadar pengangguran global 2019 = 6.97%) – peningkatan antara 2.8% hingga 13.1 %. Statistik oleh Biro Statistik Buruh Amerika Syarikat (AS) juga menyaksikan kehilangan pekerjaan sebanyak 701,000 pada Mac 2020 – merupakan statistik terburuk AS dalam kehilangan pekerjaan rakyatnya sejak GFC 2009 yang lalu.

Dampak Covid-19 ini mengenakan tempiasnya di seluruh dunia. Kita diberitakan perihal keadaan pengangguran yang tinggi dikalangan belia, mismatching dalam sektor pekerjaan oleh graduan yang baru menamatkan pengajian serta berbagai lagi yang nyata meresahkan. Justeru, belia harus melatih diri sentiasa dengan sikap kesegeraan (urgency) untuk beradaptasi dengan persekitaran yang cepat berubah dan kompetitif. Sentiasa meningkatkan kemahiran (upskiling), mengulang kemahiran baru (reskilling) agar relevan dengan tuntutan semasa.

Kerajaan telah mengorak langkah menyediakan pelbagai platform rasmi bagi menambah latihan kemahiran, dan memperbaiki padanan pekerja dengan pekerjaan. Langkah-langkah seperti mengenal pasti kemahiran yang diperlukan industri, serta mengarusperdana pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pembangunan National Occupational Skills Standard (NOSS) selaras industri 4.0 agar kadar penyertaan graduan dan belia ke dalam pasaran perburuhan.

Pada masa ini, negara sedang berada pada tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi, iaitu ‘Revitalize’ atau Memperkasa ekonomi. Pada tahap ini, strategi pemulihan ekonomi ditumpukan kepada usaha untuk merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi, atau jump-start the economy.

Golongan belia yang memiliki kepekaan intelektual, idea, inovasi akan sentiasa dapat menyambar ruang dan peluang yang diberikan ini untuk menerobos ruang ekonomi baru yang bergerak laju.

Ekonomi dagang contohnya akan mengambil tempat yang begitu dominan dalam era masa kini. Perkembangan teknologi digital mensyaratkan belia perlu menambah satu lagi keperluan asas seperti dalam teori maslow iaitu literasi digital. Kecelikan dan justeru kefasihan dalam penggunaan perkakas digital menjadi sangat mandatori kini. Siapa sangka keperluan harian seperti jual beli, pembelajaran kelas, mesyuarat, konvensyen, seminar telah diadaptasi secara maya serta merta, dipaksa atau terpaksa seluruh kita melaziminya sebagai norma baru, norma biasa dan akan terus di biasa.

Kemampuan gerakan belia untuk menghadapi badai gelombang ini seharusnya dihargai. Reset sistem pengoperasian manual pergerakan belia melalui fasa baharu yang benar-benar mencabar. Jika ini dilepasi dengan jaya, nyatalah pergerakan belia sudah layak dimartabatkan ke suatu lagi pengiktirafan nasional.

Untuk sepanjang lebih satu abad usia pergerakan belia berstruktur di tanah air kita, banyak pahit jerih yang telah dilalui. Sedari awal gerakan belia menjadi lokomotif kepada kegiatan masa senggang, aktiviti berasaskan minat, badan beruniform, khidmat kepada masyarakat, kemudian menjadi wadah kepada pemimpin kemerdekaan melatih daya kepimpinan. Selepas merdeka, MBM sebagai contohnya terus menjadi rakan semak dan imbang, rakan pembina negara yang kritis sesuai dengan slogan “Belia Bertindak Untuk Kebenaran dan Keadilan”. Sehinggalah ke hari ini, gerakan belia telah melalu fasa yang panjang dengan bermacam pendekatan untuk menyesuaikan diri dengan dasar negara, global dan persekitaran semasa.

Jika rekod bertulis yang terawal boleh dirujuk, ternyata usia pergerakan belia di tanah air telah melepasi satu abad (100 tahun).

Diawali oleh penubuhan Pengakap yang lahir di Tanah Melayu pada tahun 1910 untuk persekolahan menengah, manakala bagi sekolah Rendah pula terdapat Pasukan Anak Serigala. Pandu Puteri mula berkembang sejak tahun 1917. Manakala, pada tahun 1915 dan 1917 terdapat banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan seperti Persekutuan Minyak Beku dan Persatuan Keharapan Belia dan Lubok Club.

YMCA merupakan pertubuhan belia kristian yang terawal ditubuhkan di Kuala Lumpur pada tahun 1914. Kegiatan tertumpu pada usaha-usaha dakwah kristian di kalangan pemuda-pemudi daripada YMCA, muncul pula YWCA (Young Woman`s Christian Association). Di sekolah-sekolah, muncul pula Persatuan St. John Ambulance ditubuhkan pada tahun 1908. Kebanyakanya di sekitar Kuala Lumpur.

GPMS ditubuhkan pada tahun 1948. Ia merupakan pertubuhan yang memperjuangkan nasionalisma orang melayu yang berasaskan bangsa Melayu dan agama Islam. Tahun yang sama jugalah MBM ditubuhkan secara rasmi sebagai cawangan World Assembly of Youth (WAY).

Sehingga sebelum merdeka, MBM adalah pertubuhan sukarela yang bersifat senggang (pengisi masa lapang). Tetapi kemudianya, MBM dibawa mengikut pembangunan negara. Di akhir tahun 1960-an MBM mula mahukan penglibatannya dalam pembangunan negara. Dalam peringkat tersebut juga MBM mengorak langkah dan menggelarkan dirinya sebagai pejuang suara belia dan rakyat yang lantang.

Oleh pencapaian mengagumkan gerakan belia ini, justeru tiba masa kita tempatkan gerakan belia ke suatu pentas yang lebih tahan karat, malar dan milik sepunya negara. Melebihi satu abad usia gerakan belia ini yang berjasa terhadap pembangunan negara maka tidaklah ganjil untuk kita mengusahakan martabatnya diangkat sebagai khazanah warisan negara. Dalam konteks ini sebagai warisan tidak ketara (intangible heritage) yang boleh diwartakan di bawah Jabatan Warisan Negara. Warisan tidak ketara merujuk kepada sebarang bentuk pencapaian warisan tidak nyata dalam bentuk ilmu dan kepakaran yang ditafsir melalui tradisi lisan, nilai-nilai adat dan budaya, bahasa dan persuratan.

Di sini, gerakan belia boleh mengambil posisi sebagai gerakan kebudayaan. Definisi luas istilah kebudayaan di sini adalah segala cara hidup masyarakat. Terdapat pada MBM nilai-nilai intelektualisme, idealisme, aktivisme, jaringan sosial, institusi gabungan dan pelbagai lagi yang telah merakyat, berakar di seluruh negara. MBM adalah milik negara, milik nasion, milik sepunya seluruh rakyat. Semoga usaha untuk memartabatkan ini dipandang dan diusahakan oleh KBS, MBM dan pemegang taruh berkaitan.

Bertarikh : 3 September 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »