KUALA LUMPUR 21 Okt – Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid telah menyertai sesi Perbincangan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh bersama Menteri Pendidikan (KPM), YB Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bertempat di WTC Jalan Tun Ismail.
Antara fokus perbincangan adalah mengenai agenda “Jom Masuk Persatuan Belia” melalui program jelajah sekolah serta kampus bagi memperkenalkan MBM kepada pelajar serta mahasiswa selain pengkaderan kepimpinan belia sebagai persediaan kepada pelaksanaan Akta had umur belia di bawah 30 tahun pada 2026.
Hasil perbincangan, beberapa ketetapan dibuat antaranya :
- KPM bersetuju MBM dan gabungannya terlibat sebahagian daripada Program Generasi Madani yang akan dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh negara mulai tahun depan;
2. Semua program kepimpinan pelajar di peringkat sekolah, Kolej Vokasional, Matrikulas dan Institut Pendidikan Guru akan melibatkan MBM dan badan gabungannya;
3. Menteri KPT mencadangkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) sebagai Badan Bersekutu MBM. Ini boleh dipanjangkan juga pada MPP Universiti-Universiti di peringkat Negeri; dan
4. MBM akan terlibat dalam program KPT khususnya program-program kepimpinan dan jelajah mempromosikan MBM dan badan gabungannya.
Untuk perancangan kehadapan, MBM akan merangka beberapa modul kepimpinan untuk IPG, KV dan Matrikulasi seterusnya bengkel kepada semua pemimpin dan badan gabungan MBM.
Ini permulaan terbaik bagi membuka lebih banyak peluang serta ruang kepada MBM dan persatuan belia mendekati belia-belia di institusi pendidikan bagi memastikan persatuan belia terus relevan dan teguh demi pembangunan negara.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Pengarah JBSNegara, Puan Azura Abidin; Pendaftar Pertubuhan Belia, Encik Hasnata Hasan; Setiusaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun dan pengurusan kanan KBSMalaysia.