MAJLIS BELIA MALAYSIA

Genap seminggu Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik

Majlis Belia Malaysia (MBM) mengekori rapat perkembangan pasca termeterainya persefahaman antara Kerajaan dan pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) yang boleh disifatkan sebagai bersejarah yang membawa kepada perdamaian nasional (national reconciliation). Dalam tempoh pemulihan dan peralihan kepada endemik sekarang, sikap lapang dada anggota legislatif di kedua-dua blok amatlah dihargai. Keutamaan untuk mengerah segala perhatian dan komitmen terhadap menangani bebanan dihadapi rakyat, memastikan negara berada pada tempoh stabil serta menyahut titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ternyata dizahirkan. 

Sidang Dewan Rakyat yang telah bermula seminggu dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medan perbahasan terbuka, telus dan berakauntabiliti seperti yang terkandung dalam komitmen MoU berkenaan. Faedahnya kembali kepada rakyat apabila budaya ketelusan ini diamalkan dengan mengenepikan sementara risiko dan kelicikan politik. Diharapkan seperti yang terkandung dalam MoU berkenaan tidak akan diadakan Pilihan Raya menjelang Julai 2022 akan direalisasikan untuk menumpahkan fokus sepenuhnya kepada isu rakyat yang sedang menderita.

Seperti terdapat dalam peribahasa Melayu “bulat air dek pembetung, bulat manusia dek muafakat”, sikap lapang dada dan jiwa besar para pemimpin di atas ini diharapkan membawa limpahan kemakmuran bersama. Sehingga hari ini, gencatan politik diyakini mampu meyakinkan para pelabur, pemodal dan syarikat industri untuk kembali memilih Malaysia sebagai medan pelaburan.

MBM menyeru pihak Kerajaan dan PH terus konsisten mematuhi perjanjian persefahaman dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan sambil menggunakan kesempatan ini untuk terus membantu rakyat, mentransformasikan pentadbiran negara dan melawan rasuah dan memajukan Malaysia yang dilihat ketinggalan berbanding negara-negara jiran.

Justeru itu, MBM akan terus menjadi kumpulan penengah yang akan memainkan peranan sebagai rakan aktif pembangunan negara termasuklah menjadi kumpulan pemantau awam (public scrutiny) untuk memastikan amanah pentadbiran negara diurus dengan baik dan kestabilan politik dijana dan kesejahteraan terus dikecapi.

JUFITRI JOHA

PRESIDEN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh : 21 September 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »