Kuala Lumpur 12 Disember – Forum Generasi Muda bertemakan “Megah Bahasa Warisan Bangsa” anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Jawatankuasa Pendidikan Tetap MBM dan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Malaya bertempat di Auditorium Kompleks Perdanasiswa, Universiti Malaya Kuala Lumpur yang bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 2.00 petang. Ahli panel forum terdiri daripada Prof. Madya Dr. Krishanan A/L Maniam Kementerian Kesihatan Malaysia, Sdr. Jufitri Joha Naib Presiden MBM, Dr. Lim Swee Tin Tokoh Bahasa dan Sastera, Sdr. Nazri Kahar Editor Astro Awani, Sdr. Mohd Syahbuddin Hashim YDP Majlis Belia Negeri Kelantan dan Sdr. Mohamad Adham Kamarulzaman Wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM. Sdr. Muhamad Hanafi Jamaludin Pensyarah Institut Profesional Baitulmal sebagai moderator forum.
Turut hadir ke forum tersebut adalah Sdr. Ahmad Saparudin Yusuf Setiausaha Agung MBM dan Wakil GAPENA. Forum ini dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Haji Awang Bin Sariyan, Ketua Pengarah DBP di mana ucapannya banyak menyentuh tentang perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu, semua kaum perlu menghormati Jalur Gemilang dan lagu kebangsaan serta perlu mengembeling tenaga bagi mendokong asas-asas perjuangan kita.
Dr. Lim Swee Tin dalam ucapannya memberitahu bahawa orang muda adalah pewaris kebangkitan Bahasa Melayu. Pada tahun 1963/64 tulisan Jawi telah dilupuskan daripada Bahasa Melayu dan inilah bunga-bunga kepada kelumpuhan bahasa kita. Dulunya Bahasa Melayu di sepanduk dibesarkan tetapi sekarang ini tidak lagi inilah petanda kepada bahasa kita semakin dilupakan dan sesungguhnya kita sedang mengikis kedaulatan Bahasa Melayu.
Prof. Madya Dr. Krishanan A/L Maniam berkata Bahasa Melayu merentasi segala bidang kerana kita perlu menghayati bahasa dan dalam karya sastera sememangnya mempunyai sains dan teknologi. Kita sering mengatakan bahawa Bahasa Melayu itu serba kekurangan tetapi sedarkah kita Bahasa Melayu itu bahasa yang kuat yang boleh menampung semua bidang.
Sdr. Jufitri Joha menyatakan di peringkat belia telah dihantar anak-anak muda ke peringkat antarabangsa untuk mengajar Bahasa Melayu antaranya di Phuket Thailand, Sri Lanka dan Pulau Krismas Australia. Bahasa itu adalah bahasa ilmu bahasa jiwa. Untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN terdapat 2 elemen iaitu kebergunaan yang meluas dan kebolehgunaan yang meluas.
Sdr. Nazri Kahar menyatakan bahawa kita mempunyai rasa kurang keyakinan / kebanggaan yang amat rendah untuk menutur Bahasa Melayu. Beliau memberitahu bahawa Astro Awani mengambil peluang menggunakan 100% Bahasa Melayu. Pendekatan bahasa perlu seiring / selari dengan arus permodenan.
Sdr. Mohd Syahbuddin Hashim berkata bahasa perlu diperkayakan dan dilatih dan perlu mempunyai sekreteriat yang menjaga Bahasa Melayu. Beliau menjelaskan bahawa bulan bahasa perlu disambut seperti kita menyambut Hari Sukan Negara, Hari Belia dan perlu memperbanyakkan program berbentuk bahasa yang menampilkan anak-anak muda.
Sdr. Mohamad Adham Kamarulzaman menerangkan tentang aktiviti yang telah dijalankan antaranya festival pengajian Melayu yang memfokuskan kepada debat dan pidato. Gerakan pelajar dalam pengungkapan Bahasa Melayu sudah ada cuma memerlukan kepada sokongan dan dorongan daripada pihak tertinggi terutama dari segi kewangan untuk menggerakkan pelbagai program.
Kesimpulan dari forum ini adalah pejuang-pejuang sedia ada ini memerlukan pewaris untuk memperjuangkan Bahasa Melayu, mempertingkatkan jatidiri dan keyakinan diri kita, perlu menyokong usaha DBP, mengadakan kempen di media sosial, menggunakan platform penting seperti di dalam Majlis Perundingan Belia Negara supaya mendesakkan kerajaan untuk mendaulatkan Bahasa Melayu, perlu membawa Bahasa Melayu ini pada khalayak dan semua kaum, perlu keterlibatan daripada pihak-pihak swasta dalam memartabatkan Bahasa Melayu dan suara anak muda perlu digunakan untuk menambahkan kosakata.