Kuala Lumpur 2 Jun – Forum Bicara BH – Belia Cermin Masa Depan Negara; “Retak Cermin , Musnah Negara” ini adalah anjuran Berita Harian di Public Space, Balai Berita Bangsar dimana salah seorang ahli panelnya adalah daripada pimpinan Majlis Belia Malaysia. Program ini adalah sebuah platform untuk perbincangan intelektual mengenai pelbagai isu semasa negara dan sebagai usaha untuk memupuk budaya perkongsian ilmu dan peranannya dalam menyediakan kandungan berbentuk intelektual, informatif dan terkini.
Forum ini menghimpunkan pelbagai pihak yang berkepentingan serta ahli panel dalam kalangan pemimpin masyarakat, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGOs) bagi membincang dan mengupas topik dipilih untuk manfaat bersama.
Antara 3 ahli panel yang hadir ialah YB. Dato’ Razali Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Profesor Madya Dr. Haim Hilman Abdullah, Pengarah Institut Pengurusan Kualiti Universiti Utara Malaysia (UUM), Sdr. Jufitri Joha Naib Presiden MBM yang mewakili Tuan Hj. Mua’amar Ghadafi Jamal Presiden MBM dan moderator oleh Dr. Haji Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamed UUM.
YB. Dato’ Razali Ibrahim berkata parlimen belia / parlimen mahasiswa adalah salah satu untuk mempromosikan sistem demokrasi di Malaysia dan belia perlu kepada kualiti dan latihan kepimpinan.
Profesor Madya Dr. Haim Hilman Abdullah memberitahu kemajuan sesebuah negara itu bergantung kepada ilmu dan strategi, belia perlu ada visi iaitu kemampuan untuk visualisasi, perlu kepada berimaginasi iaitu berani berimaginasi untuk menjadi yang dinamik dan juga perlu praktis dari segi kepimpinan dan jati diri). Belia perlu mempunyai saluran khas dalam mendekati belia.
Sdr. Jufitri Joha menerangkan pandangan cendekiawan bahawa definisi umur belia adalah 40 tahun. Pelaksanaan akta umur belia 15 – 30 tahun itu perlulah diberikan sedikit masa dan sistem pendidikan perlu dikemaskini balik. 4 perkara yang perlu dipersiapkan oleh belia adalah belia perlu bersedia dan bijaksana untuk masa hadapan, perlu lebih melihat kepada masa depan, perlu ada ciri-ciri seorang aktivis dan belia perlu mempunyai sifat yang khusus dan tradisional