Monday, 09 July 2007
MAJLIS Belia Selangor mensasarkan lebih 600 pasukan menyertai Pertandingan Futsal Belia Selangor 2007 (Footbest 07) bermula 3 Ogos ini bagi membolehkannya dicatatkan sebagai kejohanan terbesar dalam sejarah negara.
Pengerusi jawatankuasa penganjur, Faizal Abdullah, berkata pertandingan itu dianjurkan sempena Hari Belia Negara peringkat negeri Selangor dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
“Kita menyediakan kategori lelaki bawah 18, lelaki bawah 40 dan terbuka wanita yang menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM6,000,” katanya di Shah Alam semalam.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran logo pertandingan itu yang disempurnakan Exco Agama, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil.
Orang ramai yang ingin menyertai pertandingan yang bakal dilangsungkan di Sunway Sport Planet bermula 3 hingga 5 Ogos ini boleh menghubungi FAS, 03-7803 7054 atau Majlis Belia Selangor.