KUALA LUMPUR 8 Sep – Fiesta Belia Merdeka 2024 telah berlangsung dengan meriahnya bertempat di Dataran Merdeka di sini.
Acara ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan NGO belia, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pusat Belia Antarabangsa, KL Care dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Fiesta ini bertujuan memperkukuhkan semangat patriotisme di kalangan belia khususnya mereka yang tinggal di bandar di samping memupuk kepimpinan dan kesedaran sosial.
Acara ini juga menyediakan platform bagi belia untuk mempamerkan bakat dan kemahiran mereka melalui pelbagai aktiviti sepanjang hari tersebut.
Acara utama yang berlangsung termasuk Fitness Dance Marathon, Karnival Kerjaya oleh PERKESO, Bike Show, Forum Belia Berisiko, Pertandingan Filem Pendek, Hari Rock Negara dan Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China.
Kepimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) turut hadir memberi sokongan kepada penganjuran program ini. MBM dihadiri oleh Presidennya, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abd Hamid dan Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun.
Tahniah buat Presiden MBWP, Sdr. Khairul Rizam dan seluruh kepimpinannya yang berjaya menonjolkan kolaborasi NGO belia bersama pelbagai pihak berkepentingan menjanjikan pelbagai aktiviti menarik yang bukan sahaja mendidik tetapi juga menghiburkan.
Lebih dari itu, acara ini mampu memupuk semangat kemerdekaan dan membentuk kepimpinan belia yang berwawasan.







