16 Mei 2015
HULU TERENGGANU – Persatuan Belia Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Jerangau, Dungun dinobatkan sebagai johan Anugerah Perdana Pertubuhan Belia sempena sambutan Hari Belia Negara peringkat Terengganu.
Persatuan tersebut berjaya mengatasi 385 persatuan belia lain di seluruh negeri dan membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta piala dan sijil.
Pengerusi MBFM Felda Jerangau, Mohd Azani Md Noor berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha beliau dan ahli persatuan lain yang bertungkus-lumus memajukan persatuan berkenaan.
“Alhamdulillah, hasil titik peluh kami menjalankan aktiviti untuk membangunkan belia khususnya bagi belia Felda diberi penghargaan dan kami akan terus mengadakan aktiviti untuk membangunkan belia Felda untuk melahirkan generasi yang berwibawa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Karnival Transformasi Terengganu Baharu peringkat Hulu Terengganu dan Sambutan Hari Belia Peringkat Terengganu yang dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Mohd Azani yang juga merupakan Naib Pengerusi MBFM Wilayah Terengganu berkata, pihak pengurusan Felda Wilayah Terengganu serta pihak pengurusan Felda Jerangau banyak membantu pihaknya dalam menguruskan persatuan berkenaan.
“Persatuan kami diberikan satu lot kedai oleh pengurusan Felda Wilayah Terengganu sejak awal Januari lalu sebagai aset persatuan dan kami turut diberi amanah untuk menjaga dewan sivik di Felda Jerangau untuk menjalankan aktiviti belia,” katanya yang turut merancang untuk mengadakan pertandingan Motocross Tertutup Felda Jerangau akhir bulan ini.
Pada majlis berkenaan, Ahmad Razif turut menyampaikan cek olok-olok berjumlah lebih RM1.6 Juta kepada wakil Majlis Belia Daerah dari lapan daerah di negeri ini.
Semasa pembentangan belanjawan negeri di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu tahun lalu, Ahmad Razif mengumumkan kerajaan negeri menaikkan jumlah bantuan pentadbiran kepada semua persatuan belia dari RM2,000 kepada RM5,000 mulai tahun ini. – Bernama