MAJLIS BELIA MALAYSIA

Ekspedisi kayak Melaka ke Dumai

MELAKA 8 Feb. 2012 – Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) akan menghidupkan kembali program ekspedisi berkayak sejauh lebih 40 kilometer dari Melaka ke Dumai, Indonesia pada 14 hingga 16 April ini.

Presidennya, Zali Mat Yassin berkata, program itu dihidupkan semula atas permintaan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam bagi memeriahkan acara sambutan 750 tahun penubuhan Melaka tahun ini.

Menurutnya, program itu pernah dianjurkan oleh MGBM pada 2003 dan 2004, namun selepas itu ia tidak pernah diadakan lagi.

“MGBM telah bersetuju untuk menghidupkan kembali ekspedisi berkayak dan merancang seramai 50 ahli termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan beberapa pertubuhan belia yang lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengambil bahagian.

“Ekspedisi ini dijangka melalui perjalanan selama 27 jam jika keadaan cuaca baik. Peserta akan singgah di Pulau Rupat dan seterusnya ke Dumai sebagai destinasi terakhir,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zali berkata, persiapan rapi sedang dilakukan termasuk kesemua peserta yang akan menyertai ekspedisi tersebut perlu menjalani latihan selama sebulan mulai Mac ini.

Menurutnya, kesemua peserta akan menjalani latihan di Tasik Ayer Keroh dengan dibantu oleh Persatuan Rekreasi Mendaki Tembok Tiruan Melaka (REDTMA) pada setiap hujung minggu.

Latihan itu katanya, amat penting untuk membentuk fizikal dan tahap kecergasan peserta dalam mengharungi cabaran getir ke Dumai.

“Pada ekspedisi 2004, peserta tidak dapat menamatkan acara berkayak di pertengahan perjalanan kerana dilanda cuaca buruk dengan tiupan angin kencang,” ujarnya.

Katanya, MGBM mengharapkan acara yang akan diadakan selama tiga hari itu akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah dari aspek cuaca.

Beliau berkata, kesemua peserta akan bertolak dari Dataran 1Malaysia di Klebang kira-kira pukul 5 pagi.

Menurutnya, sepanjang perjalanan tersebut kesemua peserta akan menaiki 53 buah kayak.

Katanya, para peserta akan diawasi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta beberapa agensi lain.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »