Majlis Belia Malaysia (MBM) memberikan sokongan penuh terhadap iltizam yang dizahirkan Kerajaan melalui kenyataan oleh Perdana Menteri mengenai penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan di peringkat antarabangsa.
Sebagai sebuah negara berdaulat yang ditegakkan oleh pengalaman sejarah dan sosial sendiri kita harus berdiri dan maju dalam acuan sendiri. Sebagai manifestasi berkenaan, penggunaan Bahasa Melayu dalam acara-acara rasmi di pentas antarabangsa amatlah tepat melambangkan negara yang berjati diri.
Justeru itu, disyorkan agar pihak Kerajaan perlu mengeluarkan pekeliling baharu sebagai lanjutan daripada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 tahun 2011 dan terbaru pekeliling pada tahun 2020 kepada para diplomat, delegasi yang mewakili Malaysia ke luar negara agar memberikan keutamaan penggunaan Bahasa Melayu ketika menyertai sebarang acara antarabangsa.
MBM juga menggesa agar pindaan Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995) bagi memberikan kuasa kepada pihak berkuasa bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk meningkatkan lagi penguatkuasaan Bahasa Melayu dalam sektor awam dalam dan luar negara.
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 3 Mac 2022