Majlis Belia Malaysia (MBM) mendukung penuh usaha pihak kerajaan dalam memberi peluang kepada pengundi 18 tahun menjadi pemilih Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Perkara ini susulan daripada kenyataan daripada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menyatakan komitmen terhadap perkara itu dibincangkan serta disahkan dalam mesyuarat Kabinet. Di samping itu juga, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menyatakan sokongan kepada pindaan Perlembagaan ini yang sememangnya telah direncana melalui sesi libat urus dengan pemegang taruh kumpulan belia.
MBM yakin satu lembaran baharu bakal dibentuk dengan penglibatan anak muda dalam sistem demokrasi negara. Anak muda atau belia akan lebih cakna akan perkembangan semasa dan mungkin juga negara akan melahirkan muka-muka baharu dalam dunia aktivis politik negara yang lebih kritis dan vokal sifatnya. Perkara ini akan menjurus kepada kematangan fikiran mereka kerana mereka sudah mula berfikir mengenai hal-hal berkenaan negara.
Ia juga boleh disifatkan sebagai satu isyarat kepada parti-parti politik negara agar memberikan penumpuan yang lebih kepada rintihan dan kehendak belia dari segenap demografi. Parti-parti politik perlu menjadi juara dalam menyuarakan hasrat golongan belia. Baik isu pekerjaan, pendidikan, kesihatan mental dan sebagainya, semua parti politik perlu merangka strategi dalam menjadi juara dimata anak muda.
Di pihak MBM, beberapa program telah berjaya digerakkan sejajar dengan hasrat Undi 18 ini. Salah satunya adalah Program Sekolah Politik 2.0 yang antara lainnya bertujuan untuk membincangkan agenda politik anak muda dan menangkapi sosialisasi politik dalam Indeks Belia Malaysia. Program ini juga sebahagian daripada usaha MBM dalam menggerakkan kempen #NotTooYoungToRun bagi memastikan lebih ramai golongan muda diangkat menjadi calon dalam pilihanraya sekaligus menjamin kedudukan mereka di dalam Parlimen Malaysia.
Harapan MBM adalah Undi 18 ini bukanlah semata-mata tertumpu kepada had umur mengundi. Malah keseluruhan kandungan yang diperjuangkan di dalam gerakan ini perlu di ambil perhatian juga seperti penglibatan mereka di dalam proses pembuatan dasar negara. Selain itu, mereka juga mahu jurang antara ahli politik dan golongan belia dapat dirapatkan.
Di samping itu, MBM juga berharap hak anak muda dalam membentuk sistem demokrasi negara dapat dibela dengan sewajarnya. Sifat merendah-rendahkan pandangan anak muda oleh ‘orang lama’ dalam parti politik perlu dihentikan kerana mereka juga warganegara yang mempunyai kuasa dalam mengangkat atau menjatuhkan anda.
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 1 Mei 2021