Oleh: JUFITRI JOHA
Kejadian pembantaian terbaru Etnik Muslim Rohingya oleh tentera Myanmar pada bulan Oktober 2016 bukanlah kali pertama seumpamanya berlaku. Ia merupakan siri-siri operasi pembantaian dan kekejaman yang terpaksa dilalui semenjak 1942. Ia bermakna tragedi ini berlaku lebih awal daripada konflik Palestin pada 1948. Kali terakhir pembantaian besar-besaran berlaku pada Jun 2012 oleh sebahagian pengganas Etnik Rakhine selepas orang Rohingya dituduh dikatakan telah merogol beramai-ramai seorang wanita Rakhine.
Junta tentera Myanmar yang turut mendalangi kezaliman ini cuba menafikan sejarah kewujudan dan kewarganegaraan etnik malang ini sedangkan Etnik Rohingya sudah mempunyai kerajaan Arakan yang merdeka dan makmur pada zaman Empayar Mrauk-U sebelum dijajah oleh Burma. Arakan berasal daripada perkataan Arab bermaksud ‘arkan’ atau tiang manakala rohingya berasal daripada perkataan ‘raham’ iaitu kasihan dan simpati. Etnik Rohingya sebahagiannya mempunyai keturunan Arab, Parsi, Benggali dan Afghan yang dulunya mereka merupakan pedagang dan pendakwah. Kerajaan berparlimen Burma pada 1948 – 1962 sesungguhnya telah mengiktiraf kewujudan Rohingya sebagai etnik asli Burma. Nama Arakan akhirnya ditukar kepada Rakhine oleh Jeneral Ne Win dan ibu negerinya ditukar dari Akyab kepada Sittwe mungkin untuk memadamkan sejarah keagungan Kerajaan Arakan.
Dunia sukar untuk memahami dosa yang dilakukan Etnik Rohingya sehingga diperlakukan seperti binatang dan digelar dengan pelbagai gelaran yang menghinakan seperti Kala yang bermakna hitam. Rohingya dianggap sebagai pendatang dan turut digelar sebagai Benggali yang berasal dari Bangladesh sedangkan sejarah membuktikan sebaliknya. Bahkan lebih memburukkan keadaan apabila mereka turut dituduh sebagai pengganas yang mempunyai kaitan dengan agenda Islamophobia. Kejadian 9 Oktober 2016 yang mencetuskan pembunuhan beramai-ramai adalah disebabkan tuduhan bahawa seorang penyerang Rohingya yang tidak dikenali telah menyerang pos kawalan sempadan di daerah Maungdaw menyebabkan keseluruhan etnik Rohingya menerima padah apabila kampung mereka dibakar, dirogol dan dibunuh. Junta tentera langsung tidak membenarkan media dan bantuan kemanusiaan masuk. Nasib malang yang menimpa Rohingya menyebabkan PBB menyebutkan mereka sebagai “the most persecuted ethnic in the world”.

Rohingya membentuk 25 % daripada populasi Arakan dan hidup bersama etnik lain Rakhine, Chin, Mro, Chakma, Khami, dan Dainet. Rohingya merupakan masyarakat yang cerdik, rajin berniaga dan paling cepat berkembang populasinya. Sejarah turut mencatatkan Rohingya pernah berdagang sehingga ke Kedah. Dr. Mahbubul Haque dari Universiti Prince Songkla, Thailand telah menjalankan kajian terkini bertajuk “Political Transition in Burma: Status of Rohingya Muslim Minority” telah menyorot sejarah pernyertaan Etnik Rohingya di dalam politik Burma dan Myanmar di mana Gani Maracan merupakan legislator pertama dilantik pada tahun 1936 ketika zaman kolonial British. Semenjak itu Etnik Rohingya terlibat secara aktif di Parlimen dan beberapa parti politik.
Rohingya mula dinafikan kewarganegaraan apabila Undang-Undang Kewarganegaraan 1982 sengaja dirancang bagi mengeluarkan Rohingya daripada menjadi warganegara. Semenjak itu, Rohingya menjadi stateless dan diperlakukan dan dilayan dengan lebih teruk lagi. Ini juga bermakna hak mengundi mereka turut dinafikan. Tragedi 2012 menyaksikan kelompok ultra nasionalis Rakhine bersekongkol dengan Kerajaan USDP pimpinan Thein Sein membunuh Etnik Rohingya. Inilah keganasan yang disebut sebagai state sponsored terrorism. Merekalah yang sebenarnya pengganas dan bukannya Etnik Rohingya. Junta tentera telah menaja dan mengangkat sami Buddha yang esktrem seperti Wirathu dan Pergerakan 969 untuk melakukan rusuhan dan ucapan berbau perkauman dan anti Islam bagi meningkatkan sokongan kebencian terhadap Etnik Rohingya dan Islam. Mereka menganggap Rohingya adalah sebahagian daripada rangkaian pengganas global. Umumnya mengetahui bahawa ajaran Buddha mengajar penganutnya berbudi mulia dan mengelakkan kezaliman malahan pertubuhan agama Buddha di Malaysia mengutuk kekejaman terhadap Etnik Rohingya ini. Menurut Thai Ming Yeow, Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) yang juga mewakili badan gabungan Persatuan Belia Buddhist Malaysia (YBAM) bahawa dalam ajaran Buddha, seseorang yang membunuh atau mengarah orang lain untuk membunuh adalah dosa neraka yang tidak dapat dijurangkan dengan bertaubat. Ia melanggar empat prinsip utama seseorang sami dan secara automatic statusnya sebagai seorang sami dilucutkan serta-merta. Saudara Thai juga pernah bersama-sama ABIM, badan gabungan MBM menyertai flash mob Citizen for Rohingya di Dataran Merdeka satu ketika dahulu sebagai solidariti bagi mengembalikan hak kerakyatan Rohingya.
Etnik Rohingya pada mulanya meletakkan harapan yang tinggi dengan kemenangan Suu Kyi dan partinya NLD namun harapan tersebut berkecai apabila situasi semakin buruk di bawah NLD. Perlu diingat Junta Tentera sebenarnya masih berkuasa dan berpengaruh apabila Perlembagaan Myanmar memperuntukkan 25 kerusi tetap dalam Parlimen dan tiga kementerian iaitu Dalam Negeri, Sempadan dan Pertahanan. Uniknya mereka tidak bertanggungjawab kepada Parlimen dan Kabinet. Justeru tidak hairanlah Junta Tentera masih terus mengganas terhadap Rohingya. Suu Kyi pula kelihatan senyap di kala grup perkauman anti Rohingya meningkat di Myanmar dan beliau dilaporkan pernah meminta diplomat asing termasuk Duta Amerika yang baru di Rangoon untuk tidak menggunakan istilah Rohingya. Ini merupakan satu sikap yang tidak menghormati hak self-identification Etnik Rohingya. Kerajaan Parti NLD yang ketua de factonya adalah Suu Kyi pernah mengusahakan Union Peace Conference 21 Century namun sayangnya ianya tidak melibatkan wakil Islam dan Rohingya. Kerajaan juga kemudiannya menubuhkan Suruhanjaya Penasihat yang dipengerusikan Kofi Annan, mantan Setiausaha Agung PBB namun malangnya sekali lagi tiada wakil Islam bahkan ditolak oleh Parti USDP dan kelompok Ultra-Buddhist.
Walaupun kelompok muslim rapat dengan bapa Suu Kyi, Jeneral Aung San dan cuba untuk terus berhubung baik dengan NLD namun sayangnya Suu Kyi cuba menunjukkan sikap sebaliknya bahkan enggan berbincang isu Muslim di media termasuk enggan bertemu Menteri Luar Malaysia untuk berbincang isu Rohingya apabila diminta. Justeru ramai yang kecewa dengan pemegang Anugerah Nobel Kemanan ini dan masyarakat dunia menuntut gelaran tertinggi itu bersama 11 anugerah lain ditarik balik kerana gagal mempertahankan hak asasi manusia.
Negara kuasa besar seperti China, US dan EU bersikap acuh tidak acuh dalam isu ini kerana mereka mempunyai kepentingan pelaburan yang besar di Myanmar. Keuntungan lebih mereka utamakan daripada nilai nyawa manusia. Arakan juga dikatakan kaya dengan sumber mineral yang mungkin menjadi sebab tersembunyi ketamakan dan kerakusan Kerajaan Myanmar menghapuskan Etnik Rohingya secara besar besaran atau disebut sebagai Genosid.
Dunia tidak boleh terus membiarkan kekejaman ini berterusan. Polisi Tidak Campur Tangan ASEAN dalam isu dalaman Negara anggota ASEAN atau Non Interference Policy tidak releven dalam isu ini kerana ia sudah sampai ke tahap pembunuhan dan penafian hak kewarganegaraan. Ia juga menyebabkan kesusahan kepada Negara jiran seperti Thailand, Malaysia dan Indonesia terpaksa menerima limpahan pelarian Rohingya dan yang paling membimbangkan ianya akan menggalakkan anak muda Islam yang sudah tidak sabar dengan situasi terkini bertindak berangkat ke Myanmar untuk mengangkat senjata. Sudah pasti ramai yang simpati dan berhasrat mengangkat senjata namun pendirian dan tindakan tegas Kerajaan Malaysia terhadap Kerajaan Myanmar sedikit melegakan. Namun sebagai belia dan rakyat Malaysia pelbagai cara diplomatik dan saluran demokrasi dan perdagangan wajar digunakan untuk menekan Kerajaan Myanmar agar segera menghentikan keganasan dan mengembalikan kerakyatan Rohingya.
Bantuan Kemanusiaan juga harus digerakkan dan usaha Ngo seperti Global Peace Mission (GPM) Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Arakan harus didokong dan dibantu selain usaha memberikan pendidikan kepada anak-anak pelarian Rohingya di Malaysia seperti yang diusahakan oleh Rohingya Edcuation Centre (REC) di Kelang, Permatang Pauh dan Kelang wajar dibantu oleh masyarakat. Terdapat juga usaha advokasi yang didokong oleh Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST) dan Pusat Kajian dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) untuk memohon The Permanent Peoples’ Tribunal (PPT) di Rom untuk menyiasat jenayah genosid ini. Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang diketuai oleh Senator Tan Sri Ali Rustam pula menganjurkan himpunan solidariti Rohingya di Dewan Felda sekaligus menyerahkan memorandum bantahan kepada Pesuruhjaya Tinggi Myanmar di Kuala Lumpur.
Di satu segi yang lain, pergerakan belia seperti ABIM sebagai contohnya telah melancarkan kempen #IngatBolaIngatRohingya sempena Kejohanan Piala Suzuki. GPMS dan ABIM sebagai contoh lain turut menyokong, menjayakan dan berucap di Himpunan Solidariti Rohingya di Stadium Titiwangsa yang turut dihariri Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS). Majlis Belia Malaysia sendiri sebagai payung kepada 38 pertubuhan belia pelbagai agama dan kaum konsisten menentang keganasan dan pernah mengeluarkan kenyataan melalui Presidennya Mua’amar Ghadafi pada 2015 agar menyingkirkan Myanmar daripada keanggotaan ASEAN sebagai reaksi terhadap kekejaman terhadap Rohingya. MBM mahu agar rantau Asia Tenggara yang makmur ini bebas daripada pencabulan hak asasi dan terus stabil dan menjadi rantau kerjasama contoh dan berjaya selepas Kesatuan Eropah (EU). ASEAN tidak akan berjaya jika Myanmar terus dengan tabiat buruk mereka membunuh dan agenda genosid terhadap Etnik Rohingya. Semua rakyat ASEAN berhak hidup aman dan menjadi warganegara!.