MAJLIS BELIA MALAYSIA

DMK Edisi 3 Dekati Warga Tekek, Semarak Kesihatan dan Kesukarelawanan

TIOMAN 27 Ogos – Gerakan belia terus membuktikan peranan sebagai rakan strategik komuniti apabila Program Doktor Masuk Kampung (DMK) Edisi Ke-3 kembali menyantuni warga Kampung Tekek menerusi pelbagai pengisian berkaitan kesihatan, pendidikan dan kesukarelawanan.

Program anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Pahang (MBN Pahang) dan Majlis Belia Daerah Rompin (MBD Rompin) itu memberi ruang kepada pelajar dan komuniti setempat mendapatkan pendedahan serta ilmu praktikal berkaitan penjagaan kesihatan, kesejahteraan mental, keselamatan dan gaya hidup sihat.

Seramai 43 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk sukarelawan Persatuan Mahasiswa Malaysia di Russia, MBMUK, MBMRussia, mahasiswa perubatan, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Rahmah Support Team, MBN Pahang dan MBD Rompin bersama-sama menjayakan inisiatif berkenaan.

Antara pengisian yang mendapat perhatian termasuk pemeriksaan kesihatan, Let’s Talk Minda Sihat, penjagaan kesihatan gigi, rawatan asas kecemasan PBSM, kesihatan reproduktif remaja, perkongsian pengalaman Studying Abroad, aktiviti Zines – Mental Health, mewarna prasekolah dan sukaneka. Agihan Jalur Gemilang turut diadakan bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Turut hadir Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid; Presiden MBN Pahang, Sdr. Saharuddin Ahmad; Naib Presiden MBM, Sdri. Jessy Ng serta Pengetua SK Tekek, Encik Khairan Abdul Ghani.

DMK Edisi Ke-3 sekali lagi memperlihatkan bahawa kekuatan gerakan belia bukan hanya terletak pada idea, tetapi pada kesediaan untuk turun padang, berkongsi ilmu dan memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.

MBM merakamkan penghargaan kepada seluruh sukarelawan dan rakan strategik yang menjayakan program ini. Semoga usaha berterusan seperti DMK dapat melahirkan generasi muda yang lebih cakna, sihat, berilmu dan bersedia menjadi penggerak perubahan dalam komuniti.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »