MAJLIS BELIA MALAYSIA

DINAMIK BUDAYA SENI JALANAN, VANDALISME DAN POLITIK RAKYAT

Oleh:

Sdri. Syafiqah Abdul Rahim

Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia

Perbincangan di media sosial berkenaan vandalisme mural ahli politik dan figura utama di Shah Alam pada awal bulan ini memperlihatkan dua pandangan di kalangan warganet Malaysia. Artikel ini akan mengupas isu berkenaan kepelbagaian pendapat berkenaan dengan kesedaran politik seni jalanan.

Perbincangan dapat dibahagikan kepada dua aspek iaitu dari sudut 1) kawalan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang dan 2) pengawasan dalam pemeliharaan karya seni jalanan di tempat awam. Kajian di peringkat global menunjukkan seni jalanan dan vandalism ini lazim dikaitkan dengan soal undang-undang; yang mana berkait dengan usaha pihak berkuasa tempatan telah mula membenarkan seni jalanan di laksanakan di tempat awam. Malahan bagi sesetengah kawasan, terdapat peruntukan kewangan dan lokasi untuk karya seni tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan tumpuan pelawat di kawasan tersebut. Kajian-kajian turut berkait dengan soal pemeliharaan seni tersebut dengan ekosistem tempatan. Dari sudut lain, seni jalanan termasuk grafiti juga dikaitkan dengan aktiviti protes. Secara amnya, seni jalanan merangkumi lukisan, grafiti, arca, seni cahaya atau pelbagai jenis hasil seni yang seharusnya mengakar kepada nilai komuniti setempat bagi satu-satu kawasan terebut.

Berbalik kepada isu contengan cat aerosol merah dengan kata-kata kesat di atas mural wajah ahli politik dan figura utama tersebut, pertama sekali yang perlu dilihat adalah nilai simbolik mural tersebut kepada rakyat Malaysia. Terdapat pelbagai pendapat berkenaan hal ini, yang mana umum melihat nilai simbolisme mural wajah-wajah figura tersebut sebagai penghargaan terhadap Malaysia dalam menangani COVID-19. Pendapat kedua pula terdiri daripada pandangan yang tidak bersetuju secara total dengan lukisan wajah-wajah tersebut sebagai mewakili rasa bangga dan kesatuan kolektif rakyat Malaysia. Ini kerana wajah-wajah tersebut turut dilihat sebagai mewakili kapasiti politik peribadi dan jawatan individu. Pemilihan jenis mural wajah juga dilihat kurang tepat bagi menekankan elemen kebersamaan dan kesatuan rakyat dan sebagai representasi rakyat keseluruhan Malaysia.

Contengan cat aerosol merah tersebut tidak melambangkan budi dan adab masyarakat Malaysia serta merupakan satu tindakan merosakkan seni di tempat awam. Namun kejadian ini juga menunjukkan bahawa terdapat pelbagai saluran ekspresi pendapat peribadi sebagai rakyat Malaysia. Penggunaan cat warna merah melambangkan emosi marah, tidak berpuas hati, atau untuk tujuan mendapatkan perhatian. Butiran seperti ini menjelaskan mesej di sebalik tindakan pelaku vandalisme tersebut yang membawa suara dan pandangan politik pelaku.

Meskipun terdapat percanggahan pendapat dalam isu seni jalanan dan vandalisme ini, pendapat-pendapat ini bersetuju dalam 1) mengenalpasti soal pengawasan dan penguatkuasan undang-undang dan 2) pengawasan dalam menjaga hasil seni jalanan, terutamanya bagi kawasan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan. Pihak berkuasa tempatan mempunyai bidang kuasa bagi mengukuhkan penguatkuasan undang-undang kecil vandalisme di bawah akta 171 Akta Kerajaan Tempatan. 

Hal ini berkait rapat dengan soal pendidikan kewarganegaraan, kesedaran mengenai budaya tempatan dan cakna politik di kalangan rakyat. Dapat disimpulkan di sini, seni jalanan turut mempunyai suara politiknya tersendiri. Pihak berkuasa tempatan dan artis atau pelukis seharusnya lebih sensitif dan cakna dalam pemilihan jenis seni jalanan yang bersesuaian di tempat awam. Masyarakat juga harus lebih jelas dengan cara menzahirkan pendapat bersesuaian dengan adab dan budaya di Malaysia.

Reaksi masyarakat dan keprihatinan rakyat dalam kejadian ini menggambarkan nilai dan budaya Malaysia dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap ekspresi seni, preservasi dan penguatkuasaan undang-undang.

Bertarikh: 4 Ogos 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »