Kuala Lumpur, 2 Jun – Telah berlangsung dengan jaya siri dialog ini yang bertempat di Lorong Haji Taib 4, Chow Kit, Kuala Lumpur.
Membina masyarakat Malaysia yang lebih sejahtera dalam tempoh 30 tahun akan datang tidak seharusnya meminggirkan kumpulan berisiko seperti pengguna dadah, pekerja seks dan pembawa HIV positif. Ini kerana mereka juga warganegara yang mempunyai hak di layan seperti manusia biasa walaupun mempunyai sisi gelap dalam kehidupan.
Isu sistem sokongan yang rapuh, peluang kedua yang kabur, stigma negatif penjawat awam dan masyarakat, penindasan dan penipuan pekerjaan, layanan tanpa perikemanusiaan dan tiada bantuan bersifat holistic dan berterusan adalah antara isu yang dibangkitkan dalam sesi Dialog Inspirasiku TN50: Suara Jalanan (Pengguna Dadah, Pekerja Seks, Bekas Banduan dan HIV Positif anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Komuniti Ikhlas Malaysia (IKHLAS).
MBM adalah sebuah badan NGO Belia terbesar yang kini giat menjelajah ke seluruh negara untuk mendapatkan pandangan aspirasi orang muda untuk Malaysia yang lebih sejahtera dalam tempoh 30 tahun akan datang. MBM akan meneruskan pendekatan begini menyantuni kumpulan berisiko tinggi bagi mendapatkan pandangan mereka tentang TN50.
Sesi dialog yang amat bermakna ini di adakan di Lorong Haji Taib yang dikatakan “lubuk” segala gejala sosial ini mendapat sambutan luarbiasa di kalangan komunti berkenaan. Seramai 98 orang pengguna dadah, pekerja seks, bekas banduan dan pembawa HIV positif memberi pandangan tentang masa depan Malaysia yang lebih sejahtera.
Menyalahkan mereka yang mempunyai masalah sosial tanpa merawat punca permasalahan bukanlah satu tindakan yang adil. Kelemahan sedia ada perlu diatasi melalui komitmen semua pihak agar risiko penularan gejala sosial yang sememangnya mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat dan negara dapat dikurangkan. Oleh itu, ia merupakan cabaran sosial yang dihadapi belia negara dan perlu ditangani dengan baik.
Mereka yang hadir juga turut menzahirkan pandangan bahawa isu gejala sosial yang mendapat liputan meluas di media massa sedikit sebanyak mempengaruhi minda segelintir masyarakat untuk menganggap mereka sebagai liabiliti berbanding aset kepada negara. Ini kerana, beberapa faktor seperti kelemahan sistem kekeluargaan, pengaruh media, sistem pendidikan, daya tahan yang rendah dan ekonomi tidak diambil kira oleh pihak berkaitan.
Seperkara yang menarik perhatian ialah pandangan yang dilontarkan mengenai isu keciciran pendidikan yang menjadi antara penyebab utama isu gejala sosial dan ia menjadi satu cabaran sekiranya tidak disusuli dengan tindakan komprehensif dari kerajaan.
Sesi dialog dikendalikan oleh Sdr. Rizan Hassan Ketua Penerangan MBM dan turut dihadiri oleh Sdr. Ahmad Saparudin Yusup Setiausaha Agung MBM dan Syed Azmi Alhabshee Aktivis Jalanan
PENERANGAN MBM