Di tengah-tengah kontroversi arak buatan Malaysia, Majlis Belia Malaysia (MBM) ingin menarik perhatian umum tentang permasalahan berterusan sejak dahulu penjualan arak murah yang dijual secara terbuka di kedai-kedai runcit seperti 7E dan 99 Speedmart.
Ia telah lama disuarakan oleh pihak MBM dan dibawa usul berkaitan isu ini melalui Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) termasuk oleh pemimpin belia pelbagai kaum yang prihatin di bawah MBM. Penjualan arak murah secara terbuka dikhuatiri akan mempengaruhi dan dibeli secara bebas oleh belia remaja khususnya di bawah umur yang menyumbang kepada pelbagai permasalahan sosial.
Ia juga turut memberikan kesan keagamaan kepada juruwang di kedai-kedai runcit tersebut yang rata-rata majoritinya belia beragama Islam. Ini adalah kerana semua sedia maklum bahawa sebarang aktiviti berkaitan arak seperti minum, menjual dan menghantar adalah haram di sisi penganut agama Islam.
Justeru sudah sampai masanya MBM tegas mengesyorkan semua jenis penjualan arak termasuk arak murah wajib dijual secara terkawal kepada kedai-kedai khusus yang berlesen sahaja agar tidak mudah dibeli oleh belia remaja pelbagai kaum.
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 20 Oktober 2021