Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
DEMOKRASI adalah satu sistem pemerintahan berteraskan suara dan kuasa rakyat. Demokrasi yang berasal daripada perkataan demos dan krateis iaitu rakyat dan kuasa diperkenalkan secara formal di Athens, Greece pada kurun kelima Sebelum Masihi.
Konsep demokrasi adalah menyokong suara terbanyak. Dalam sastera nukilan William Shakespeare berjudul Coriolanus disebutkan rakyat adalah kota dan kota adalah rakyat. Justeru, suara rakyat sangat penting kerana mereka inti daripada sesebuah pemerintahan. Dalam cerita berkenaan, pemimpin ulung yang pernah membela dan mempertahankan kota Rom, Cainus Martius Coriolanus dihina rakyat selepas mereka dihasut beberapa pemimpin politik yang cemburu terhadap beliau. Rakyat diracun dengan idea Martius adalah pengkhianat Rom dan akhirnya kerana suara orang ramai membuatkan seorang pejuang hebat dibuang negeri. Persoalannya di sini, adakah suara terbanyak adalah suara paling benar? Adakah sesebuah institusi itu perlu menyokong suara ramai walaupun ia bukan suara terbijak? Dalam konteks pemilihan pula, adakah keseluruhan yang terpilih melalui sistem demokrasi yang diguna pakai oleh 62.5 peratus pemerintahan di dunia hari ini menjanjikan pilihan paling benar dan terbaik? Jawapannya adalah pentingnya peranan ilmu pengetahuan sebagai asas yang sepatutnya menjadi dasar dalam proses menentukan keputusan tadi agar pertimbangan salah dapat dielakkan. Generasi muda berilmu Generasi muda Malaysia hari ini adalah generasi celik ilmu. Sejak merdeka, kerajaan Malaysia secara konsisten meletakkan pendidikan sebagai perjuangan utama negara.
Setiap tahun, sebahagian besar daripada bajet negara diperuntukkan untuk pendidikan. Sekolah dipercumakan dan melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi menjadi mudah dan terbuka. Manakala usaha kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan menerusi rangka tindakan kajian semula pendidikan nasional yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 11 September ini menunjukkan iltizam kerajaan dalam menumpukan pembangunan pendidikan negara.
Pada 1957, hanya sebahagian kecil rakyat negara ini mempunyai pendidikan dasar. Kini berdasarkan Jabatan Statistik Negara kadar literasi atau celik huruf rakyat Malaysia adalah antara tertinggi berbanding negara Asia Tenggara apabila kadar literasi rakyat yang berumur 15 tahun ke atas di Malaysia ialah 93.2 peratus. Ilmu dan masa depan Malaysia Melalui demokrasi, kesinambungan suatu pemerintahan yang baik terletak di atas bahu pemilih. Generasi muda yang peratusan terbesar dalam daftar pemilih pada pilihan raya umum akan datang bakal menjadi pemberat bermakna untuk menentukan pemenangnya. Namun, sejauh mana generasi muda bersedia dan mampu membuat keputusan matang yang menjadi penentu terhadap hala tuju negara ini? Adakah mereka sebagai generasi berilmu mahu mempertimbangkan hal terbaik demi memastikan negara ini terus stabil dan makmur dan sejauh manakah mereka ingin menangkis hasutan atau sogokan emosi dalam mempengaruhi keputusan mereka seperti dalam sastera Coriolanus? Budaya membaca dan mencari tahu, memeriksa ulang, tidak terikut-ikut serta berani adalah aset penting anak muda jika mereka tidak mahu diperalat mana-mana pihak. Meskipun sudah tentu banyak hal terpaksa mereka pelajari sebelum bersedia membuat keputusan yang baik, ini sebahagian kecil daripada tugas melatih diri untuk menjadi insan dewasa yang penuh dengan tanggungjawab. Generasi muda berilmu kunci kepada banyak hal, termasuk membentuk negara demokrasi yang benar-benar efektif. Walaupun demokrasi dikenal sebagai suatu sistem pemerintahan yang baik, demokrasi tanpa ilmu mengancam merosakkan keseluruhan yang susah payah dibina sebelum ini. Pada zaman dulu kala, Mesir, Parsi dan Maurya tidaklah terbina atas tiket demokrasi, tetapi kerana ilmu ekonomi, perang dan politik, mereka tetap tercatat dalam sejarah sebagai empayar masyhur. Sebuah sistem tidak menjanjikan kemenangan mutlak, tetapi dengan ilmu keberhasilan sistem itu akan meningkat berlipat ganda.
Majlis Belia Malaysia (MBM) sangat menyokong tindakan kerajaan membuat transformasi pendidikan dengan cara bersifat terbuka dan demokrasi iaitu dengan cara memberi ruang kepada rakyat memberi pendapat kepada transformasi pendidikan yang bakal dilaksanakan. Ini penting agar mutu tahap pendidikan Malaysia akan mengikuti seiring dengan peredaran zaman.
Rakyat di negara ini seharusnya bersyukur kerana pemerintah negara kita memilih melabur segala sumber dan kekayaannya sejak awal kemerdekaannya kepada sektor pendidikan serta sumber manusia.
Berbeza dengan sesetengah negara yang pemerintahnya memilih untuk memperkuat aspek militer dan pertahanan.
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM