MAJLIS BELIA MALAYSIA

Dekad Ini Dekad Anda 2.0

Oleh :

Jufitri bin Joha

Presiden Majlis Belia Malaysia

Tahun ini sekali lagi tahun kedua sambutan Hari Belia Negara (HBN) disambut secara suram kerana tiada acara dan himpunan sebagai mana tradisi. Walaupun begitu, semangat dan nyalarasa belia harus terus diperkasakan. Di saat pandemik ini, kebanyakkan belia berada dalam keadaan sukar, kecewa hopeless dan keliru. Mereka perlukan sedikit percikan dan nyalaan harapan bagi bingkas bangkit (resilience) berhadapan dengan situasi yang tidak menentu ini.

Pelbagai inisiatif telah dilakukan secara bersama oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi membantu belia menangani pandemik daripada sudut ekonomi, pekerjaan dan latihan. Sebahagian besar inisiatif ini disebut secara jelas oleh Dato’ Seri Reezal Merican dalam ucapan HBN 2021 beliau. Usaha dan inisiatif ini akan berterusan dan sentiasa menjadi keutamaan kedua-dua pemegang taruh pembangunan belia KBS dan MBM.

HBN tahun ini masih mengekalkan tema Dekad Ini Dekad Anda sebagai idealisme dan menifestasi mempersiapkan anak muda untuk menjadi pewaris kepimpinan negara pada masa kini dan masa depan. Tema ini memperkuatkan lagi idealisme perjuangan belia Malaysia agar mereka memimpin dengan penuh prinsip dan pengorbanan bagi mewarnai dekad yang lebih lestari untuk Malaysia dan dunia.

Untuk itu, dua pengumuman penting YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sewaktu ucapan HBN 2021 adalah bagi memenuhi maksud tersirat di sebalik tema HBN ini.

Pengumuman tentang pemuktamadan senarai 10 penasihat muda kepada Perdana Menteri adalah untuk memberikan ruang dan peluang anak muda yang berketrampilan untuk mengemukakan idea bernas berkenaan pembangunan Negara dan merealisasikannya di peringkat tertinggi kepimpinan negara serta bekerja langsung dengan YAB Perdana Menteri. Dalam konteks pandemik, inilah masanya anak muda memerah idea-idea terbaik untuk Negara bagi menangani cabaran terkait Covid-19 bagi meringankan beban belia dan rakyat.

Pengalaman ini sudah tentu mengujakan kerana merupakan peluang keemasan anak muda bukan sahaja untuk merealisasikan idea pembangunan negara mereka bahkan memahami cara Kerajaan berfungsi dan membina kapasiti berkaitan kepimpinan, polisi dan think tank. Mereka juga akan didedahkan dengan dunia realiti sebenar bagi mengimbangi dunia idealis mereka. Bercakap tidak semudah menterjemah tindakan dalam dunia realiti.

Idea penasihat muda kepada Perdana Menteri ini merupakan idea yang datang daripada bawah iaitu daripada MBM bagi menyediakan lebih banyak platform untuk anak muda bersuara dan beraksi dan ia disambut baik oleh kepimpinan tertinggi Negara. Inilah peranan dan fungsi utama MBM dan badan gabungannya yang telah dimainkan sebelum ini seperti idea penubuhan Parlimen Belia, MyCorps, Youth Task Force for Internatonal Affairs and Diplomacy dan OIC Youth Forum Malaysia.

Tidak kurang juga peranan MBM di pentas antarabangsa di mana terbaru MBM mengambil bahagian secara proaktif bersama 8 negara menubuhkan D8-Youth Council dan berusaha mengekalkan kepimpinan belia Malaysia di World Assembly of Youth (WAY). Ini merupakan platform global yang signifikan untuk belia Malaysia bersuara dan berpartisipasi secara aktif menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kesejahteraan global. Ia juga merupakan arena penting belia Malaysia menawar dan menampilkan kualiti kepimpinan dan solusi mereka untuk dunia yang semakin rencam dan kompleks.

Pengumuman kedua oleh YAB Perdana Menteri yang tidak kurang penting juga adalah tentang mewujudkan kerja belia profesional di mana pengamal kerja belia di Malaysia bakal diikiraf sebagai sebuah profesyen yang setaraf dan sebaris dengan peguam, doktor, arkitek dan jurutera.

Ini juga selaras dengan bidang keutamaan Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015 – 2035 di mana memperuntukkan kerja belia profesional sebagai salah satu bidang keutamaan bagi membimbing dan menyerlahkan potensi anak muda secara sepenuh masa dan profesional. Peranan pekerja belia profesional menjadi semakin penting di era dunia kehilangan kasih sayang dan kemanusiaan. Belia perlu bimbingan dan bantuan daripada pekerja belia profesional selain peranan yang dimainkan oleh para guru di sektor pendidikan formal. Pekerja belia profesional di sektor pendidikan informal merupakan feeder kepada pendidikan formal di sekolah, institut latihan dan pengajian tinggi. Belia berhak mendapat bimbingan sewajarnya daripada semua pihak bak kata pepatah, “It takes a village to raise a child”.

Kerja-kerja awal merealisasikan agenda dan ekosistem kerja belia profesional telah pun dimulakan sejak awal oleh KBS, MBM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Penyelidikan Belia (IYRES) dan Pusat Belia Antarbangsa (IYC) Kuala Lumpur dengan siri-siri bengkel dan seminar sehingga menghasilkan dokumen dasar kerja belia, National Occupational Skill Standard (NOSS) untuk kerja belia profesional yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan silibus ijazah kerja belia profesional.

Di peringkat MBM, Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) telah ditubuhkan bagi menggerak dan menggalakkan pemimpin dan aktivis belia menyertai arena ini khususnya pasca umur 30 tahun. Mereka yang sudah menamatkan aktivisme dalam dunia pergerakan belia boleh terus menyambung aktivisme dalam dunia kerja belia profesional. MBM turut terlibat aktif di arena kerja belia Komanwel melalui Commonwealth Youth Work Associations (CAYWA). Jerayawara atau roadshow penerangan dan promosi kerja belia profesional akan diperluaskan selepas ini ke seluruh Malaysia bagi memberikan kefahaman tentang konsep kerja belia profesional.

Justeru, sudah sampai masanya Malaysia menggubal Akta Kerja Belia Profesional bagi melengkapkan batu bata terakhir bangunan kerja belia profesional di Malaysia sebagaimana yang ada di Ireland dan Malta. Pengumuman YAB Perdana Menteri untuk merealisasikan agenda kerja belia profesional ini adalah tepat pada masanya. Kita sambutnya dengan baik kerana ianya adalah manifestasi political will daripada kepimpinan tertinggi Negara.

Semoga dua agenda penting masa depan anak muda Malaysia yang diumumkan ini akan terealisasi segera selaras dengan tema HBN Dekad Ini Dekad Anda yang menjadi azimat dan idealisme baharu perjuangan belia Malaysia.

Bertarikh : 31 Mei 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »