MAJLIS BELIA MALAYSIA

Darurat alternatif untuk kesejahteraan dan keselamatan awam

Pengumuman darurat hari ini disambut dengan reaksi pelbagai oleh pihak belia dan rakyat.

Majlis Belia Malaysia (MBM) memandang pengumuman yang dibuat telah melalui pertimbangan berhikmah dan kebijaksanaan sepenuhnya DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong juga mengambil kira maslahah rakyat dan kepentingan negara.

Mengambil kira kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai keadaan semasa pertahanan kesihatan negara di tahap genting (breaking point), pengumuman ini diharapkan sebagai langkah terbaik pembendungan (mitigation) terhadap usaha memberi fokus memerangi Covid-19 sepenuhnya.

Ia juga diharapkan sebagai usaha gencatan senjata mandatori kepada ahli-ahli politik yang bertelagah serta banyak menjemukan rakyat.

Bagi memastikan proses pentadbiran negara dan semak imbang dapat terus beroperasi dengan saksama, MBM menyokong syor penubuhan Jawatankuasa Bebas Bersama Kerajaan dan Pembangkang yang melibatkan semua kumpulan berkepakaran merentas kumpulan parti untuk mengerah segala daya menangani Covid-19 yang telah tersebar di tengah rakyat.

Soal keperluan asasi rakyat miskin dan kumpulan rentan yang pasti akan terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua yang bakal dilaksana, MBM menggesa Kerajaan menyalurkan insentif bantuan tunai atau apa sahaja instrumen bagi menyokong kelangsungan hidup mereka menghadapi tempoh sukar ini.

Golongan belia yang mungkin kembali tersekat atau terputus pendapatan diharapkan terus dibela melalui usahasama pintar bersama pemegang taruh berkaitan.

Moratorium bersasar terhadap kumpulan B40 dan M40 yang terkesan diharapkan terus dilanjutkan sehingga tempoh darurat dan PKP ditamatkan.

Pengumuman darurat ini membolehkan keadaan politik menjadi stabil seketika agar Kerajaan fokus menangani wabak Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

JUFITRI JOHA

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 12 Januari 2021 / 28 Jamadilawal 1442H

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »