MAJLIS BELIA MALAYSIA

Dapatkan maklumat dari sumber yang tepat, sahih

KLANG 6 April- Golongan belia, khususnya di negeri ini perlu diberikan pendidikan bagaimana untuk mendapat maklumat berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 daripada sumber yang tepat dan sahih.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Selangor, Tuan Ahmad Zakir Abdul Rahman berkata, pendidikan itu penting selaras dengan wujudnya pelbagai aplikasi serta laman media sosial ketika ini kerana golongan belia lebih bergantung dengan maklumat yang diperoleh daripada telefon pintar milik mereka tanpa memikirkan sama ada perkara itu datang daripada sumber yang benar atau sebaliknya.

“Dalam laman sosial banyak maklumat berbentuk spekulasi yang negatif tentang negara kita menjadi perbincangan anak muda, termasuklah perkembangan kehilangan misteri MH370. Ini sebenarnya satu perkembangan tidak sihat.

“Kewujudan gajet seperti telefon pintar membuatkan apa saja yang keluar daripada skrin tersebut dianggap betul dan berwibawa oleh golongan ini. Mereka sepatutnya merujuk kepada media arus perdana yang melaporkan sesuatu berita hasil maklumat sahih daripada pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Doa Selamat dan Solat Hajat yang dihadiri 80 ahli Gerakan Belia 4B Parlimen Kota Raja dan kariah Surau Ubudiah Klang Jaya di sini malam tadi.

Majlis tersebut diadakan bagi memohon pertolongan Allah SWT agar usaha mencari dan menyelamat kru dan penumpang pesawat tersebut dipermudahkan-Nya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »