CHERAS 11 Sep – Pengeluar automotif terkemuka, Chery Malaysia hari ini menyerahkan empat unit kenderaan SUV TIGGO 7 dan 8 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai tajaan pengangkutan dan sokongan kepada penganjuran program Reach Out MBD & Community.
Majlis penyerahan kunci telah disampaikan oleh Puan Celestre Lim, Pengarah Jenama dan Pemasaran Chery Malaysia kepada Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid bertempat di bilik pameran Chery, Balakong.
Program berbentuk ‘jelajah’ ini melibatkan kepimpinan MBM turun ke seluruh negara bagi menyantuni persatuan belia dan majlis belia daerah (MBD) melalui aktiviti-aktiviti bersama masyarakat setempat. Reach Out bermula 13 September ini hingga 9 November 2024 melibatkan 100 MBD dengan sasaran penyertaan seramai 5,000 orang keseluruhannya.
Program di bawah segmen Ekspresi Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan ini memberi ruang kepada persatuan belia khususnya di peringkat akar umbi untuk menonjolkan keunikan dan kekuatan masing-masing seterusnya mengajak anak muda berpersatuan.
Antara pengisian program ialah ‘Jumpa & Cerita’ – perkongsian ikon belia dan pemimpin; ‘Ekspresi Komuniti’ – aktiviti bersama komuniti setempat; ‘Cucur & Kopi’ – riadah santai bersama komuniti setempat, persembahan anak muda, pameran dan banyak lagi.
“Sebagai pengeluar SUV terkemuka dan tahan lasak, sudah pasti penggunaan kenderaan ini memastikan perjalanan konvoi yang melalui pelbagai bentuk muka bumi berjalan lancar”, ujar Izzat.
“MBM juga mengucapkan terima kasih kepada Chery Malaysia atas kerjasama strategik dan sokongan memacu perubahan positif dalam masyarakat khususnya sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR)”.
Terima kasih juga kepada Projek Belia Mahir yang turut menjadi rakan strategik kepada program ini di samping menjadi penghubung dan pemuda cara dalam mendapatkan tajaan ini.
Hadir sama Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun dan Encik Koh Sing Yee, Majlis Penasihat Belia Mahir.