KUALA LUMPUR 4 Okt. – Belanjawan bayangan yang dikemukakan pembangkang hari ini disifatkan sebagai tindakan terdesak kerana khuatir sokongan rakyat terhadap mereka terhakis apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Belanjawan 2012 Jumaat ini.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, pembangkang terpaksa membuat belanjawan itu selepas Perdana Menteri memaklumkan Belanjawan 2012 diyakini dapat menangani kesulitan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah.
“Belanjawan tersebut disifatkan pendekatan populis tanpa bersandarkan realiti keadaan semasa di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas belanjawan pembangkang itu, beliau berkata, ia tindakan terdesak pembangkang yang mahu menunjukkan mereka juga membela rakyat.
Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, belanjawan versi pembangkang itu hanyalah retorik semata-mata bagi memberi harapan palsu kepada rakyat menjelang pilihan raya tidak lama lagi.
“Adakah mereka benar-benar rasakan belanjawan itu akan membawa sebarang makna, adakah mereka rasa rakyat masih mudah ditipu dan menerima janji-janji mereka itu?
“Kita boleh menilai pemerintahan mereka di Selangor dan Pulau Pinang, adakah mereka menjaga kebajikan penduduk negeri tersebut?” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma), Mohd. Fazil Abdullah berkata, belanjawan seharusnya berlandaskan realiti serta kajian dan bukan hanya berlandaskan retorik politik semata-mata.
Menurutnya, jika belanjawan bayangan pembangkang hanya berlandaskan janji semata-mata, maka ia akan menyerlahkan sikap tidak bertanggungjawab mengumumkan sesuatu belanjawan ekonomi tanpa kajian menyeluruh.