Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
PENULIS berasa amat bangga tatkala menatap gambar Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang melalui upacara pertabalan dengan penuh gilang-gemilang. Banyak sejarah besar tercipta melalui pertabalan baginda. Di samping bersemayam di Istana Negara yang baru dan ditabalkan bagi kali kedua, Baginda juga menerima khidmat dua Perdana Menteri yang mempunyai pertalian bapa dan anak iaitu Almarhum Tun Abdul Razak Hussien pada pertabalan yang pertama dan kini oleh Datuk Seri Najib Razak.
Bagi penulis, secara peribadi majlis pertabalan ini menerbitkan rasa bangga kerana ia diketuai oleh Datuk Paduka Maharajalela Azuan Effendy Zairakithnaini yang juga rakan seperjuangan penulis sewaktu sama-sama memegang jawatan Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi penggal 2006-2010.
Sesungguhnya ia juga membuktikan bahawa seorang yang masih pada usia belia akan mampu menjalankan amanah serta tanggungjawab besar dengan penuh cemerlang asalkan diberikan keyakinan serta mandat sewajarnya. Daulat Tuanku! Bagi seluruh belia di negara ini menjunjung kasih dan mendoakan agar Ke bawah Duli Tuanku berdua mampu memayungi kesejahteraan rakyat.
Pertabalan Tuanku Abdul Halim bagi kali kedua ini juga akan menyaksikan bahawa beberapa undang-undang yang sebelum ini diguna pakai akan melalui perubahan sama ada dipinda, dibatalkan atau ditukarkan.
Sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, kerajaan melalui pertimbangan yang adil serta keyakinan terhadap kematangan rakyat sudah membatalkan tiga proklamasi darurat.
Rang undang-undang baru pula diperkenalkan dan digubal dengan disesuaikan dengan keperluan masyarakat sekarang. Seiring dengan perubahan sosial masyarakat, terdapat beberapa undang-undang yang kurang berkesan seperti Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri yang sesuai dimansuhkan. Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU juga dibuat pindaan bagi membolehkan mahasiswa bergerak lebih dinamik dan progresif.
Di samping menggubal Akta Perhimpunan Aman yang membolehkan rakyat berhimpun dan menunjukkan pandangan mereka, satu lagi langkah berani kerajaan ialah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA dan digantikan dengan suatu undang-undang bersesuaian dengan tuntutan semasa. Sesungguhnya segala perubahan ini tidak dilakukan oleh kerajaan secara suka-suka atau sekadar menyedapkan skrip peristiwa negara. Keputusan Perdana Menteri membuat transformasi khasnya membabitkan polisi keselamatan bukanlah suatu langkah bersifat popular demi mencari pengaruh politik.
Pemansuhan ISA sebagai contoh, bukanlah suatu keputusan yang mudah untuk dilaksanakan. Akta ini yang banyak berjasa lebih daripada separuh abad sebenarnya amat diperlukan demi kesejahteraan negara.
Sejak 60-an iaitu seawal akta ISA diperkenalkan, ia berjaya membawa negara keluar daripada ancaman pemberontakan komunis, ancaman pelampau kaum dan keganasan.
Walaupun terdapat banyak pihak mengkritik akta ini atas dasar kebebasan dan hak asasi manusia, namun terbukti berjaya menjadi mekanisme berkesan untuk menjaga keselamatan rakyat. Malah, kerajaan Amerika Syarikat yang sebelum ini mengkritik keras negara kita kerana mengguna pakai ISA yang disifatkan ketinggalan zaman akhirnya mengiktiraf pendekatan Malaysia dalam menangani ancaman negara.
Selepas peristiwa pengeboman menara World Trade Centre di New York pada 2001, kerajaan AS memperkenalkan USA Patriot Act 2001 dan Homeland Security Act 2002 yang juga mirip kepada ISA. Ternyata kita boleh menikmati teh tarik sambil menonton perlawanan bola sepak hingga larut malam kerana ada rakan kita yang bertugas sebagai anggota polis dan diberi kuasa penuh undang-undang untuk menahan serta menyiasat pihak yang disyaki mampu memberi ancaman kepada negara sebelum mereka sempat melakukan kejahatan.
Di kala banyak negara tetangga mengalami pelbagai ancaman keselamatan seperti pergaduhan kaum, konflik agama, pembunuhan dan sabotaj, rakyat Malaysia bebas dan aman menjalankan kehidupan sama ada di dalam atau di luar rumah.
Penulis tidak pernah mendengar cerita ada rakyat kita terpaksa menghantar anak belajar di luar negara kerana bimbangkan keselamatan mereka di negara sendiri. Kita sebenarnya menjadi tumpuan warga asing melanjutkan pengajian kerana sesetengahnya tidak lagi berasa selamat di negara masing-masing.
Demi mengelakkan tohmahan serta salah faham rakyat berhubung undang-undang tersebut yang dikatakan boleh meragut hak asasi rakyat, maka keputusan berani diambil oleh kerajaan untuk melakukan transformasi terhadap polisi perundangan ketenteraman awam negara.
Jika difikir semasak-masaknya, sudah pasti sesebuah pentadbiran kerajaan akan berbuat apa saja bagi mempertahankan peruntukan undang-undang yang boleh memihak kepadanya, terutama dalam hal mempertahankan kuasa.
Namun, bagi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab seperti Malaysia, hal sedemikian bukan amalan kita. ISA digunakan sebenar-benarnya atas keperluan keselamatan negara.
Sebagai bukti sehingga kini terdapat hanya 35 orang masih ditahan di bawah ISA dengan pecahan kesalahan atau kes seperti berikut iaitu Jemaah Islam (5), Pemalsuan Dokumen (2) dan Pemerdagangan Manusia (28).
Semua perubahan yang berlaku adalah dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri. Dalam dunia politik, memang terlalu ramai mampu menabur janji untuk melaksanakan perubahan, namun amat sedikit mampu melaksanakannya.
Kita menyaksikan janji kerajaan masa kini bukan bersifat polemik atau retorik. Bagi tempoh tiga tahun Perdana Menteri berusaha membuktikan bahawa transformasi sosio-ekonomi-politik benar-benar dikotakan janjinya. Istilah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) kini menjadi sebutan yang disebatikan dengan gagasan 1Malaysia.
Jika sewaktu zaman Tun Razak dulu Malaysia berada pada zaman awal pembangunan, kini Najib membawa Malaysia ke arah era kematangan serta membina tamadun.
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM