MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertindak sebelum ada pihak tentang ikut undang-undang rimba

maliki_bahasa

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Tindakan penganjur program mempromosikan seks bebas Seksualiti Merdeka 2011 yang mempertahankan pendirian mereka memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di negara ini perlu ditentang habis-habisan berlandaskan undang-undang.

Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris berkata, kemarahan umat Islam di negara ini terhadap isu tersebut semakin membuak-buak apabila tiada tindakan tegas dilakukan terhadap penganjur.

Kata beliau, sekiranya tiada tindakan tegas diambil khususnya daripada Peguam Negara terhadap mereka ini, dikhuatiri akan muncul golongan yang menentangnya dengan cara di luar batas undang-undang.

“Mengapa masih tiada tindakan tegas terhadap bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga yang menjadi dalang dalam hal ini? Sedangkan sejak penganjuran perhimpunan haram Bersih 2.0 dulu, dia masih bebas walaupun lebih 1,000 aduan polis dibuat terhadapnya.

“Kami yakin polis sudah jalankan siasatan, tetapi tiada tindakan. Jadi jangan sampai ada golongan yang menentang mereka ini dengan mewujudkan undang-undang rimba pula,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan penganjur terbabit yang masih ingin memperjuangkan hak golongan LGBT di negara ini.

Menurutnya, beliau yakin golongan itu menjadi berani melahirkan pendirian tersebut disebabkan tiada tindakan tegas oleh kerajaan.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula berkata, segala ruang bagi golongan ini untuk meneruskan niat mereka perlu dihapuskan segera.

“Sekarang mereka seolah-olah sudah berjaya membawa isu ini kepada masyarakat apabila ia mendapat liputan meluas media. Jadi ambil tindakan supaya ia terhenti di sini sahaja.

“Jika tidak, ia akan menjadi ancaman kepada generasi akan datang,” katanya.

Menurut beliau, perbuatan mereka yang berdegil ini memang sudah dijangka kerana niatnya memang mahu memporak-perandakan negara.

“Selepas ini mereka akan terus menekan pihak berkuasa dengan mencari kelemahan undang-undang atau mengangkat isu berkaitan supaya hasrat mereka berjaya. Maka inilah masanya untuk kita bertegas dan bertindak,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »