Majlis Belia Malaysia (MBM) menjunjung kasih titah yang disampaikan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di mana sekarang bukan waktu untuk pemimpin politik berebut kuasa dalam keadaan rakyat sedang menderita dengan pandemik Covid-19 yang berpanjangan. Bahkan, Baginda menyeru agar semua rakyat dan pemimpin mengamalkan sikap saling tolong menolong tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik dalam memastikan nasib rakyat dapat diberikan fokus perhatian paling utama.
Dalam masa yang sama, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar turut menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin politik yang cuba mengganggu gugat Kerajaan dan berebut kuasa. Sultan Ibrahim menegaskan agar pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah, bukannya kepentingan diri sendiri sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air.
Teguran daripada kedua-dua Baginda seharusnya menjadi isyarat dan mesej jelas kepada semua ahli politik dalam keadaan rakyat sedang menderita dan kehilangan nyawa.
MBM berharap buat sementara waktu, semua pihak tanpa mengira kiblat politik masing-masing agar berjiwa besar, duduk semeja dan bersatu dalam meraikan usaha yang kita semua percaya iaitu ‘exit door’ kepada penyakit ini adalah suntikan vaksinisasi. Dengan kadar vaksinisasi dos kedua masih jauh menjangkau angka 50%, ditambah penderitaan rakyat yang dihimpit masalah ekonomi dan membawa kepada kadar kes bunuh diri yang semakin meningkat, MBM menyifatkan ini bukan waktu yang sesuai untuk meneruskan perbalahan politik yang akan terus merungsingkan belia dan rakyat.
MBM berdiri teguh bersama rakyat yang telah penat dan tidak menyebelahi mana-mana pihak menggesa dengan tegas agar pemimpin politik kasihankanlah rakyat, tumpukan perhatian penuh kepada pemulihan negara sehingga keadaan reda yang membolehkan pilihanraya diadakan bagi memberikan laluan rakyat memilih Kerajaan pilihan mereka yang lebih stabil. Berhenti jadikan Covid-19 sebagai alat politik.
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 12 Ogos 2021