Meneruskan lagi MISI BELIA PRIHATIN MBM KBS, pasukan sukarelawan MBM kini meneruskan usaha kerja pembersihan di beberapa kawasan yang dilanda musibah banjir besar yang lalu. Cuaca yang cerah dan keadaan air yang semakin surut membolehkan kerja-kerja pembersihan premis umum dan rumah dapat dijalankan dan diteruskan.
Antara yang mencuri tumpuan adalah program pembersihan pasca banjir yang dihadiri sendiri oleh Presiden MBM Saudara Mohammed Maliki Mohammed Rapiee di SK Jeram Landak, Kuala Lipis. Pasukan beliau yang dalam perjalanan pulang dari misi bantuan kepada mangsa banjir di perdalaman Kelantan, singgah untuk menyertai 35 orang sukarelawan belia dan 200 orang penduduk setempat. Sekolah tersebut dipenuhi lumpur tebal dan timbunan sampah akibat buku dan fail serta perabot musnah.
Usaha bergandingan ini dilihat sangat penting di dalam kerja pembersihan pasca banjir. Turut hadir adalah pegawai daripada Jabatan Pendidikan Kuala Lipis yang turut sama meninjau kerosakan dan kemusnahan di sekolah berkaitan. Difahamkan terdapat 4 buah sekolah di sekitar Kuala Lipis yang musnah teruk akibat musibah banjir besar yang lalu. Program turut dibantu oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menggunakan pancutan air bagi meringgankan kerja pembersihan.
Dalam satu acara yang lain pula, Saudara Mohd Zaidi Aziz (Setiausaha Agung MBM) bersama Saudara Ahmad Daniar Ismail, Timbalan Pengerusi Majlis Belia Pahang menyampaikan sumbangan kepada penduduk Ulu Tembeling, Pahang yang diwakili oleh Cikgu Nadim. Sumbangan berupa keperluan harian dan makanan untuk 250 keluarga dengan anggaran penduduk 1,300 orang itu sangat bererti kepada masyarakat di situ. Ternyata kehadiran bantuan daripada MISI BELIA PRIHATIN MBM KBS mempunyai erti yang besar kepada mereka yang telah ditempah musibah ini.