Kuala Lumpur 16 Ogos – Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Guru Muda 1Malaysia Kuala Lumpur (GM1MKL) menganjurkan Bengkel Literasi Media dan Maklumat (LMM) Perdana pada 15 Ogos 2017 di Perpustakaan Negara Malaysia.
Bengkel yang julung kali diadakan ini sebagai platform menarik minat dan kefahaman belia Malaysia terhadap kepentingan menguasai kemahiran literasi maklumat dalam kehidupan moden hari ini. Belia Malaysia merupakan sasaran utama bengkel kerana merupakan kelompok aktif sebagai netizen selain sebagai golongan pelajar dan pekerja yang terdedah kepada lambakan maklumat yang memerlukan kemahiran penyaringan maklumat.
Pengisian bengkel ini merangkumi ceramah, ujian kefahaman tahap literasi maklumat, kuiz, refleksi minda, aktiviti berkumpulan dan latihan secara hands-on pangkalan data dan enjin pencarian terpilih, serta hands on perkhidmatan digital dan u-pustaka yang disediakan oleh PNM.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Nafisah Ahmad, Ketua Pengarah PNM dan turut dihadiri oleh Sdr. Mohd Zaidi Aziz Timbalan Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha Naib Presiden MBM dan Sdr. Mohammad Rizan Hassan Ketua Penerangan MBM.