MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bencana banjir : MBM gerakkan belia melalui Misi Belia Prihatin MBM-KBS

SIARAN MEDIA

MISI BELIA PRIHATIN MBM-KBS

Majlis Belia Malaysia (MBM) menzahirkan rasa simpati kepada mangsa bencana banjir dan kerosakan harta benda yang dialami akibat malapetaka di seluruh negara. Atas dasar rasa keprihatinan yang mendalam, MBM dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bersama seluruh badan gabungan MBM mengerakkan operasi bantuan    Misi Belia Prihatin kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Badan gabungan negeri MBM telah digerakkan khususnya di negeri-negeri yang sedang dilanda bencana banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak. Badan Gabungan Kebangsaan di peringkat negeri juga diletakan dalam keadaan siap sedia ekoran banjir yang turut melanda di negeri-negeri lain. Malah beberapa badan gabungan MBM telah pun memulakan khidmat bantuan seawal mungkin kepada mangsa bencana banjir ini.

Atas semangat kebersamaan ini, MBM dan seluruh badan gabungan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan rasminya hari ini mula menggerakkan bantuan bencana dengan Kumpulan Pertama terdiri dari 200 orang sukarelawan belia telah digerakkan ke Kelantan, Terengganu dan Pahang.

MBM akan memberikan kerjasama kepada semua agensi bantuan bencana yang telah diwujudkan dan digerakkan oleh kerajaan. Justeru, MBM melalui Misi Belia Prihatin berharap bantuan yang sewajarnya dapat digerakkan bagi meringankan bebanan mangsa banjir ini. Sekretariat misi ini akan diketuai oleh Puan Wan Salwati Hj Abdullah, Naib Presiden MBM (019) 3072957 dan Saudara Ahmad Saparuddin Yusup, Penolong Setiausaha Agung MBM (013) 3734934.

Sehubungan dengan itu juga, MBM turut mengharapkan bantuan orang ramai dalam menjayakan misi ini dengan memberi sumbangan dalam bentuk wang, tenaga dan idea agar Misi Belia Prihatin ini dapat berjalan lancar dan jayanya. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Sekretariat MBM di talian (03) 91732761/63. Sumbangan boleh disalurkan ke pusat-pusat pengumpulan seperti berikut:

1)       MAJLIS BELIA MALAYSIA, Wisma MBM, No.1, Jalan Tasik Permaisuri 2 Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur

 

2)       GERAKAN BELIA 4B MALAYSIA,   JKR 525 Jalan Persekutuan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur

 

3)       ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA,

– ADAB Youth Garage (AYG), No. 15, Jalan 1/4A, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi, Selangor

– Pusat Pembangunan Belia Islam, Taman Cemerlang, Gombak, Kuala Lumpur

MBM juga membuka ruang kerjasama kepada syarikat-syarikat perniagaan dan korporat untuk bersama-sama merealisasikan rasa kebersamaan dengan memberi sumbangan keperluan atau perkhidmatan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

MBM dan seluruh badan gabungan berusaha menyampaikan sumbangan dan keprihatinan seluruh warga Malaysia kepada mangsa yang terlibat. Semoga usaha ini memberikan nilai tambah kepada budaya kesukarelaan dan keprihatinan masyarakat Malaysia ke arah melahirkan masyarakat penyayang.

Akhirnya MBM menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar mendoakan kesejahteraan kepada para mangsa yang ditimpa musibah, petugas dan sukarelawan agar cekal dan dipermudahkan tugas mereka. Dengan penuh keinsafan marilah kita memohon kepada Allah Yang Maha Kuasa agar bencana ini berakhir dengan kesudahan yang baik.

Sekian, terima kasih.

MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Tarikh         : 24 Disember 2014

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »