MAJLIS BELIA MALAYSIA

Belia wajar dipimpin demi masa depan negara

SEREMBAN 25 Nov. 2012 – Golongan belia harus dipimpin serta dipupuk dengan nilai positif ke arah menangkis tanggapan masyarakat bahawa kumpulan tersebut merupakan liabiliti kepada negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, golongan belia merupakan sebahagian besar daripada jumlah penduduk di negara ini iaitu sebanyak 40 peratus.

”Ini bermakna mereka merupakan kelompok masyarakat yang tidak boleh diabaikan, malah, dicorakkan dari awal kerana merekalah yang bakal mentadbir dan menguruskan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Sukan dan Kebudayaan Majlis Belia Malaysia (MBM) 2012, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Samad Ibrahim; Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan negeri, Baharudin Jali dan Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Justeru, Mohamad berharap, semua pemimpin di pelbagai peringkat dapat memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha membentuk serta melahirkan belia yang berdaya saing, progresif serta mempunyai jati diri tinggi.

”Jadi mari kita bersama-sama tunjukkan kepada masyarakat umum bahawa belia bukanlah merupakan liabiliti kepada masyarakat seperti stigma yang selalu hinggap ke atas golongan belia.

”Kita mahukan belia yang sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan sentiasa dahagakan kemajuan serta pembangunan dapat dikecapi di negara ini,” ujarnya.

Beliau yakin dengan sokongan pelbagai pihak terutamanya dari kerajaan, jabatan, agensi serta persatuan dan MBM, usaha tersebut pasti dapat dicapai.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »