KUALA LUMPUR, 22 Okt 2012 (Bernama) — Golongan belia di negara ini perlu melihat dan memahami bahawa gerakan kesukarelaan merupakan satu aktiviti yang murni dan harus dijadikan budaya.
“Gerakan kesukarelaan merupakan aktiviti yang melepasi sempadan budaya, agama dan masyarakat dan ianya mampu menukar paradigma berfikir seseorang daripada meminta-minta kepada memberi,” kata Presiden Majlis Belia Negeri Perak Khairul El Syazalli Musa ketika menghadiri forum Dari Hati ke Hati: Menjulang Makna Kesukarelaan sempena Kursus Transformasi Sukarelawan: Sahabat Majlis Belia Malaysia (Peringkat Zon Tengah) di Hulu Bernam, Hulu Selangor baru-baru ini.
Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan Ida Harlina Ikhwan Nasir pula berkata bahawa penghayatan terhadap pembangunan modal insan adalah peluang bagi aktivis sukarela menggerakkan kesedaran dan semangat masyarakat bagi melaksanakan pelbagai aktiviti.
“Organisasi sukarela perlu meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing kerana tanggungjawab mereka terhadap masyarakat amatlah besar. Proses pembentukan barisan pelapis kepimpinan mesti dilaksanakan secara terancang melibatkan pengrekrutan, latihan dan penyeliaan supaya hanya mereka yang benar-benar berminat dipilih,” katanya.
Tambah beliau lagi, rakyat Malaysia dilihat sebagai masyarakat yang tinggi kesedaran kesukarelaan tetapi kebanyakannya bersifat ‘ad hoc’ dan kurang komited kerana tidak ada institusi yang menguruskan aktiviti ini secara sistematik.
Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor Badrol Hisham Badrudin berkata bahawa kekurangan penyertaan golongan muda untuk menyertai aktiviti sukarela adalah kerana tarikan aktiviti persekitaran yang sentiasa memenuhi keseronokan mereka.
Pertubuhan sukarela kata Badrol harus melihat senario ini sebagai ancaman kerana golongan remaja dan belia pada hari ini akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.
“Ibu bapa yang sibuk dengan kerja adalah gambaran sistem ekonomi kapitalis yang melihat keuntungan sebagai indikator kejayaan dalam hidup. Ibu bapa wajar diberi kesedaran untuk melihat kembali peranan mereka bagi menggerakkan semangat kesukarelaan di peringkat keluarga”, katanya.
Kursus yang bermula pada 19-21 Oktober 2012 di sertai oleh 80 orang belia dan mahasiswa dari beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Universiti Nottingham dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
–BERNAMA