MAJLIS BELIA MALAYSIA

Belia Penyambung Generasi

Oleh Mohammad Rizan Hassan

Penulis Mohammad Rizan Hassan merupakan Tokoh Belia Negara 2011 / Tokoh Belia ASEAN 2011. Beliau adalah juga ahli lembaga pemegang amanah IMPACT Malaysia (dahulu dikenali 1M4U).

KUALA LUMPUR (Bernama) — Tatkala golongan belia dikatakan penentu masa depan, Hari Belia Negara yang disambut setiap 15 Mei agak sedikit tenggelam berbanding dengan Hari Jururawat, Hari Ibu dan Hari Guru yang diraikan juga dalam bulan yang sama.

Jika ditanya kepada pemimpin belia dan ahli persatuan belia pastinya mereka merindui kemeriahan sambutan tahun 2010 hingga 2013 yang mampu menghadirkan sejuta belia di Putrajaya.

Walau apa pun keadaan sambutannya, golongan belia akan sentiasa teruja meraikannya kerana inilah peluang yang ada untuk menunjukkan betapa pentingnya belia dalam pembentukan negara Malaysia.

Sering diungkapkan bahawa golongan belia adalah sebagai penentu masa depan sesuatu masyarakat dan negara. Pentingnya belia bukan sahaja terletak kepada bilangan mereka yang ramai dan sebagai tenaga utama di dalam masyarakat, tetapi juga dari segi peranan sebagai penyambung antara satu generasi dengan satu generasi.

Malaysia, sebagai sebuah negara berbilang kaum yang pesat membangun dan sedang menghadapi cabaran ke arah pembinaan satu bangsa Malaysia yang bersatu-padu, sangat bergantung kepada golongan belia yang aktif, berdisiplin dan progresif.

Sejak kemerdekaan, belia negara kita turut sama berperanan dan menyumbang kepada proses pembinaan serta pembangunan negara baik dari segi politik, ekonomi, sosial, budaya atau pendidikan.

Mereka merupakan asas sebenar atau tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan negara. Oleh itu usaha hendaklah terus ditumpukan kepada peningkatan keupayaan dan kecekapan mereka.

Ini amat perlu memandangkan cabaran masa hadapan yang akan ditempuh oleh para belia adalah lebih hebat dan canggih yang memerlukan persiapan atau persediaan diri yang hebat.

Negara kita sudah pasti akan terdedah kepada pelbagai pengaruh dan tekanan dari dalam dan luar yang boleh menentukan maju mundurnya proses pembangunan dan kemajuan negara.

Tanpa ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan agak sukar bagi belia untuk mengharungi kesulitan kehidupan masa depan apatah lagi hendak memajukan negara.

Ini boleh menjejaskan kesinambungan usaha pembangunan yang hendak dicapai selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju di dalam era Revolusi 4.0 ini.

Sebagai langkah pertama ke arah persediaan itu, golongan belia harus menukar sikap atau menyesuaikannya mengikut keperluan zaman. Mereka tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada orang lain seperti kerajaan untuk mendapatkan sesuatu.

Para belia harus mempunyai sikap berdikari dalam segala usaha, mempunyai matlamat hidup yang jelas, cita-cita tinggi untuk maju, disiplin diri serta berani menghadapi perubahan ke arah kebaikan.

Pendek kata sikap yang negatif seperti takut menghadapi risiko, tidak toleran, kekurangan minat terhadap sesuatu yang boleh mendatangkan faedah, tidak suka bekerjasama dan mementingkan diri sendiri hendaklah dikikis dan dibuang.

Langkah kedua ialah meningkatkan ilmu pengetahuan para belia. Pada era ledakan informasi sekarang, golongan ini tidak dapat tidak harus mengikuti pelbagai perkembangan maklumat dan ilmu yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka.

Kemajuan pesat yang berlaku dalam pelbagai bidang seperti industri pembuatan, penyelidikan dan pembangunan, pendidikan moden, komputer, komunikasi, pengangkutan, seni bina dan sains dan teknologi, tidak boleh dipandang sepi oleh para belia.

Segala ilmu ini harus dicari dan dipelajari kerana para belia perlu sedar bahawa tanpa ilmu yang tinggi mereka tidak mungkin dapat membawa negara ke mercu kejayaan pada masa depan.

Para belia juga perlu menambahkan kemahiran mereka dalam segenap lapangan usaha dan kegiatan. Tanpa kemahiran, golongan ini tidak akan dapat menjalankan atau mengendalikan apa-apa tugas yang memerlukan kecekapan, kepandaian dan kepakaran mereka.

Kesemua langkah ini boleh dicapai melalui teknik atau cara latihan dan pembelajaran seperti latihan sambil bekerja, lawatan sambil belajar, kursus dan bengkel, ceramah, seminar dan perantisan.

Inilah peranan yang harus dan boleh dimainkan oleh persatuan belia dalam melengkapkan ahli mereka untuk menjadi penggerak negara. Malaysia yang menghadapi pelbagai cabaran memerlukan golongan belia yang berdisiplin kerana dengan belia yang berdisiplin akan lahir masyarakat dan bangsa yang berdisiplin.

Bukan mahu bermegah-megah dengan disiplin atau kita mahu hapuskan daya pemikiran yang tersendiri tetapi kerana disiplin boleh membawa kebaikan, ketenteraman dan kemakmuran kepada negara.

Tidak ada pemerintahan yang boleh mengurangkan jenayah, rusuhan, kerosakan akhlak dan lain-lain melainkan masyarakat sendiri menyertai dan merestui tindakan pemerintah. Rakyat yang tidak berdisiplin sudah tentu tidak akan menyertai dan mengizinkan tindakan pemerintah.

Falsafah hidup yang tidak mengutamakan kepentingan diri sebaliknya mengambil kira kepentingan negara hendaklah dijadikan pegangan kerana kepentingan negara akhirnya akan membawa kebaikan yang lebih kekal kepada diri sendiri.

Mereka yang mengutamakan kepentingan diri akan merasai nikmat cuma sedikit dan sekejap sahaja. Sebaliknya jika negara sudah maju, nikmat yang lebih akan dirasai dengan cara yang lebih kekal. Oleh itu sambutlah panggilan negara dan bersama-samalah berusaha bagi membina bangsa dan negara yang dihormati oleh dunia. Ingatlah bahawa yang akan mewarisi negara yang bermaruah ini ialah belia sendiri.

Sejak dulu lagi kerajaan sentiasa memberi galakan kepada golongan ini untuk bergerak cergas dalam persatuan belia. Sambutan Hari Belia Negara diharapkan dapat menjadi sebagai landasan agar kesedaran belia negara dapat ditingkatkan supaya lebih aktif dalam aktiviti belia pelbagai peringkat dan yang melibatkan belia pelbagai kaum.

Dalam masa yang sama interaksi antara belia berbilang kaum adalah sangat penting dalam usaha kita melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu. Untuk mencapai matlamat ini adalah lebih baik sekiranya kita dapat memperbanyakkan persatuan belia yang melibatkan pelbagai agama dan kaum.

Budaya sesuatu kaum termasuk bahasa tidak akan hilang hanya kerana kita merapatkan hubungan antara kaum. Amat membimbangkan sekiranya semasa muda belia sudah diasingkan mengikut kaum yang tentunya akan menyukarkan lagi usaha untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Matlamat berpersatuan ialah untuk melahirkan satu negara bangsa Malaysia yang bersatu padu. Inilah peranan yang harus dimainkan oleh para pemimpin belia tidak kira pemimpin dari persatuan politik, sosial, budaya dan ekonomi.

Kita harus sentiasa sedar dan menginsafi hakikat bahawa matlamat akhir negara ialah untuk mencapai kestabilan politik, perpaduan kaum dan keamanan hidup rakyat yang berkekalan. Ini adalah asas yang paling penting yang diperlukan untuk membawa negara memasuki era pembangunan yang maju dalam tempoh mendatang.

Kita mahu menjelang tempoh itu masyarakat dan negara kita akan menjadi lebih maju, matang, progresif, berteknologi tinggi dan saintifik. Negara kita Malaysia juga akan terus dihormati dan disanjung tinggi oleh negara-negara lain.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »