MAJLIS BELIA MALAYSIA

Belia Malaysia: Menggerak Agenda Kedaulatan Makanan Negara

Diterbitkan oleh :

Unit Penerangan, Penerbitan dan Media

Majlis Belia Malaysia

Saat artikel ini digarap, negara kita sekali lagi diuji dengan krisis bekalan makanan ruji (beras) selain beberapa komoditi lain yang semakin berkurangan di dalam pasaran tempatan. Hal ini mendorong pengguna beralih kepada beras import yang harganya jauh lebih mahal sekaligus memberi kesan terhadap kos sara hidup harian.

Mengambil kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Mei lalu yang menyatakan, “sayur-sayuran dan buah-buahan seperti cili, halia, kubis, mangga dan kelapa tidak mencapai kadar sara diri (SSR) 100 peratus bagi tahun 2021”. Sementara statistik nilai import makanan negara yang dikeluarkan KPKM pada tahun 2022 pula menunjukkan peningkatan sebanyak RM75.54 bilion berbanding RM63.59 bilion pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 18.7 peratus. Angka ini sudah pasti mengusarkan kita malah dikatakan boleh mencecah sehingga RM100 bilion menjelang 2025 berdasarkan keperluan dan trend semasa.

Tambah membingungkan, hal ini bukanlah perkara baharu, isu ini merupakan bualan dan perbincangan dipelbagai peringkat sejak bertahun-tahun lamanya, negara berhadapan dengan masalah kekurangan barangan makanan asas malah terpaksa pula mengimportnya.

Persoalannya, bilakah isu ini akan selesai atau setidak-tidaknya berkurangan? Sampai bila kita harus bergantung kepada pengimportan makanan sedangkan makanan tersebut negara kita sendiri boleh hasilkan?

Apa yang menjadi kehairanan kepada kita adalah dengan bentuk muka bumi yang sama seperti negara-negara jiran, mengapa Malaysia masih ketinggalan dari segi pengeluaran dan kecukupan domestik hasil dari bidang pertanian ini. Thailand sebagai contohnya sangat jauh meninggalkan kita dari segi teknologi pertanian yang lebih sistematik, terancang dan mampu mengeluarkan hasil yang banyak.

Negara tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada import makanan, bayangkan jika negara pengeksport mengubah polisi mereka akibat faktor pengeluaran, cuaca, peperangan dan sebagainya. Natijahnya rakyat akan menanggung kesan kenaikan harga barangan makanan import dengan jumlah yang tinggi. 

MBM berpendirian bahawa sudah sampai masanya negara beralih kepada polisi pengeluaran produk makanan yang lebih komprehensif, berdaya maju, berteknologi.  Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030 sedia ada perlu dirombak dan dikaji semula. Mana-mana polisi yang sudah tidak relevan atau tidak mendatangkan impak positif perlu diubah daripada peringkat penjualan, pengeluaran, benih, baja dan sebagainya.

Semua pemain-pemain industri perlu duduk semeja mencari kaedah terbaik untuk kelangsungan industri makanan negara untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 tahun akan datang.

Perlu diketahui, pertanian hari ini sudah beralih kepada teknologi moden, mahu tidak mahu sejumlah bajet yang besar harus ‘khususkan’ kepada Kementerian Pertanian agar sektor pertanian negara mampu berdaya maju dan mengeluarkan hasil yang mencukupi.

MBM sebagai badan induk pertubuhan belia yang mempunyai ahli diperingkat negeri dan daerah bersedia membantu kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan tani.

Untuk rekod, MBM pernah mencadangkan dan mendapat respons positif daripada Menteri Belia dan Sukan (KBS) bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan ketika itu dalam kerjasama jangka panjang pembangunan program tanaman bernilai tinggi khusus untuk para belia.

Melalui program ini, pihak KBS mengkaji penggunaan tanah-tanah yang belum dibangunkan di 22 buah Institut Latihan Kemahiran Belia (ILKBS) milik KBS di seluruh negara agar dimanfaatkan sebagai bank tanah untuk para belia namun usaha tersebut tidak dapat diteruskan apabila kerajaan pusat berubah kepimpinan.

Untuk menjayakan agenda ini, wakil belia juga perlu dilibatkan di peringkat pembuat dasar kementerian sebagai langkah kerjasama yang erat di kalangan golongan elit dengan golongan marhaen iaitu mereka di peringkat lapangan. Kadangkala apabila berlakunya kerenah birokrasi di kalangan pembuat dasar yang tidak selaras dengan harapan di kalangan belia, sedikit sebanyak merugikan sumber serta modal insan itu sendiri.

Bagi golongan muda yang terlibat dalam bidang pertanian ini seringkali mempersoalkan ketetapan serta syarat-syarat di pihak kementerian yang dilihat kebanyakannya tidak selari dengan kehendak anak muda.

Pihak kementerian kadangkala dilihat terlalu berhati-hati dalam pembangunan industri pertanian dengan mengenakan syarat-syarat permohonan yang ketat untuk usahawan belia. Kekangan kemudahan pembiayaan dan pinjaman projek yang dilihat menekan anak muda untuk serius dalam bidang ini perlu diberi perhatian sewajarnya.

Bidang yang memerlukan masa yang panjang untuk direalisasikan ini harus digerakkan secara bersama. Untuk menjadikan belia sebagai pewaris sektor pertanian negara, suatu kerjasama konkrit jangka panjang di mana belia dilibatkan secara bersama dari langkah permulaan lagi bukannya hanya selepas sesuatu dasar dilaksanakan.

Ruang bidang pertanian negara kita boleh diisi oleh lebih ramai belia andaikata bidang ini diangkat dan diletakkan di tempat yang sewajarnya sebagai sumber pendapatan yang stabil dan lumayan untuk diusahakan sehingga belia merasakan sektor ini mampu untuk menampung keluarga malah menjadi kerjaya profesional.

Akhir sekali MBM berharap isu kekurangan rantaian makanan ini tidak lagi kita dengari malah kita perlu fokus kepada isu yang lebih besar dari itu.

Bertarikh : 12 September 2023

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »