MAJLIS BELIA MALAYSIA

Belia Malaysia hadiri himpunan menyatakan solidariti Malaysia terhadap Palestin

Putrajaya 22 Dis, – Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri mengetuai ribuan masyarakat berhimpun menyatakan solidariti Malaysia bagi menolak secara total pengumuman Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Presiden Amerika Syarikat.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri membidas Amerika Syarikat (AS) supaya tidak memperlekehkan negara yang membantah keputusan negara uncle Sam itu berhubung isu Baitulmaqdis.

Perdana Menteri mempertahankan pendirian tegas Malaysia membantah keputusan Amerika mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel malah mengambil langkah berani dengan menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membantah keputusan Donald Trump tersebut.

Dalam pengundian bantahan keputusan Amerika Syarikat itu di PBB, sebanyak 128 negara menyokong resolusi PBB yang tidak mengikat, sembilan menentang dan 35 berkecuali sementara 21 negara tidak mengundi.

Presiden MBM, Sdr. Mua’amar Ghadafi Jamal berkata sokongan seumpama itu sebagai tanda bahawa rakyat negara ini tidak berdiam diri atas tindakan yang merupakan suatu penindasan terhadap umat Islam di sana.

“Saya bersyukur kita (rakyat Malaysia) bersatu untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin. Masyarakat dunia khususnya Islam perlu memastikan Baitul Maqdis  tidak diceroboh dalam pelbagai cara,” katanya selepas berakhir Himpunan Putih: Solidariti Selamatkan Baitul Maqdis di sini.

Program anjuran bersama Kementerian Dalam Negeri, IPSOM, JAKIM, Yayasan Amal Malaysia dan NGO ini turut dihadiri pemimpin kerajaan, kedutaan dan parti politik dari pelbagai latar belakang. Ahli Jawatankuasa Kerja, Dewan Tertinggi dan ahli Badan-badan gabungan MBM turut hadir menyatakan sokongan terhadap Palestin.

 

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »