KUALA TERENGGANU, 9 Feb (Bernama) — Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) menyuarakan kebimbangan dengan trend golongan belia masa kini yang cenderung menukar minyak kenderaan mereka daripada RON95 kepada RON97 berikutan penurunan harga petrol dan diesel, baru-baru ini.
Pengerusinya Zaidi Muda berkata golongan belia di negeri ini perlu meneruskan perbelanjaan berhemah hasil penjimatan yang diperoleh ekoran penurunan harga bahan bakar itu.
“Saya menasihatkan belia jangan boros berbelanja, sudah pasti sekarang kita mempunyai sedikit wang lebihan daripada penurunan harga minyak dan diharap wang lebihan itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk perbelanjaan lebih berfaedah.
“Kita tidak boleh mengharapkan harga ini akan kekal…kalau ia turun lagi, kita sebagai pengguna mengucapkan syukur walaupun di pihak kerajaan, ia akan bertambah suram kerana pendapatan negara terus berkurangan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata wang lebihan tersebut perlu dibuat tabungan sebagai persediaan menghadapi kenaikan harga minyak pada masa akan datang.
Katanya selagi harga minyak dunia tidak berganjak di bawah paras US$60 setong, maka rakyat boleh mengharapkan harga runcit petrol di stesen minyak tempatan diturunkan lagi pada setiap 1 haribulan, berikutan penetapan harga runcit RON95 dan diesel dilakukan mengikut kaedah pengapungan terkawal bermula 1 Dis lepas.
“Namun, saya bimbang apabila harga minyak kembali stabil nanti, takut-takut kita terutamanya warga belia tidak boleh menerima hakikat kenaikan harga ini.
“Dikhuatiri ramai daripada kita akan mula menghentam kerajaan dengan pelbagai tuduhan yang amat dahsyat, oleh itu kita perlu belajar menerima hakikat dari sekarang dan berjimat-cermat sementara harga masih murah sekarang,” katanya.
Pasaran minyak mula diturunkan sejak September tahun lepas berikutan kejatuhan harga minyak dunia dan sejak itu sudah tiga kali harganya menurun.
Kali terakhir pada 1 Feb lepas dengan harganya terus turun iaitu RON95 kini RM1.70 seliter, RON97 RM2 seliter dan diesel RM1.70 seliter.
— BERNAMA