KOTA KINABALU, 16 Mei – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menyarankan para belia di negeri ini sentiasa meningkatkan pengetahuan serta berfikir di luar kebiasaan agar dapat bersama membangunkan negara khususnya Sabah.
Beliau berkata, belia juga perlu menghayati visi dan misi kerajaan, mengetahui agenda pembangunan negeri dan negara serta memahami pendekatan strategik yang diambil kerajaan untuk jangka masa pendek dan panjang.
Menurutnya, menerusi pemahaman dan penghayatan itu sekali gus akan memberi ruang kepada belia untuk melihat peluang dalam melibatkan diri berdasarkan potensi dan kepakaran masing-masing.
Musa berkata sehubungan itu, kerajaan negeri sentiasa mengambil kira kepentingan dan keperluan belia dalam melaksanakan pelbagai dasar dan agenda pembangunan untuk Sabah.
“Belia merupakan aset penting yang perlu dididik sebaik mungkin untuk memastikan negeri dan negara terus merdeka dalam segenap aspek dan untuk itu, perhatian besar dan bersungguh-sungguh perlu diberikan dari semua pihak sama ada dari kerajaan mahupun rakyat,” katanya ketika merasmikan pelancaran sambutan Hari Belia peringkat negeri 2015 di sini, malam ini.
Musa berkata, belia perlu dilibatkan dalam merancang dan melaksana polisi pembangunan fizikal dan insan, sekiranya tercicir dari arus perdana pembangunan negara maka belia berkenaan tidak akan bersedia untuk menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai insan dan pemimpin masa hadapan.
Sementara itu beliau berkata sambutan hari belia yang diadakan setiap tahun merupakan penghargaan dan pengiktirafan besar kerajaan negeri terhadap sumbangan belia dalam pelbagai bidang di Sabah.
Katanya, sambutan yang berkonsepkan karnival, rangkaian dan interaksi itu cukup signifikan dengan tema sambutan ‘Showcase of Talents’ dan berupaya memberi impak positif kepada pandangan dan pemikiran belia sekali gus menjadi platform menggilap bakat dan potensi belia negeri.
Beliau berkata sambutan itu juga mampu merangsang semangat kesukarelawan selain mencorakkan minda positif dalam kalangan belia Sabah. – Bernama