2 November 2014
KEJAYAAN pasukan belia berkemahiran yang mewakili Malaysia menduduki tempat kedua di belakang tuan rumah, Vietnam dalam ASEAN Skills Competition (ASC) 2014 adalah kejayaan manis seluruh warga latihan kemahiran. Pertandingan berlangsung selama 10 hari bermula 19 Oktober lalu.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri turut berbangga dengan kejayaan mereka menggondol sembilan pingat emas, lima pingat perak dan empat pingat gangsa sekali gus mencatatkan pencapaian terbaik negara pada pertandingan itu.
“Tambah membanggakan, peserta dari Malaysia turut dinobatkan sebagai peserta Best of Nation pada edisi ke-10 Pertandingan ASC yang kali ini diadakan di Hanoi, Vietnam. Terima kasih kerana mengharumkan nama Malaysia di persada ASEAN,” katanya
Melihat kepada kejayaan ini, Sekretariat 1Belia 1Kemahiran (1B1K) Majlis Belia Malaysia berpandangan bahawa di negara telah berlakunya suatu peningkatan kualiti latihan pembangunan kemahiran oleh Institusi Latihan Kemahiran Awam/Swasta (ILKA/S) di mana mereka boleh mencapai kejayaan dengan berlakunya perubahan paradigma dan penerimaan kepada budaya pembelajaran sepanjang hayat yang disokong pula oleh kurikulum latihan kemahiran yang berkualiti.
Namun begitu, Sekretariat 1B1K-MBM melahirkan rasa kecewa kepada sesetengah masyarakat khususnya ibubapa yang masih mempunyai stigma lapuk bahawa latihan kemahiran adalah kelas kedua. Menyedari hakikat ini, beberapa usaha telah digerakkan dengan menumpukan kepada peningkatan kualiti latihan kemahiran dalam menyediakan sumber manusia yang dapat memenuhi keperluan industri. Kerajaan harus lebih banyak memperuntukan dana bagi pembentukan pembangunan belia berkemahiran dan juga kemudahan latihan yang bertaraf dunia.
Sekretariat 1B1K-MBM juga mendesak kerajaan agar pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada pemenang Pertandingan Kemahiran Malaysia atau ASEAN Skills Competition atau World Skills Competition dengan menawarkan biasiswa bagi melanjutkan latihan kemahiran di luar negara bagi memberi pendedahan dan pengalaman yang lebih luas.
Semoga kejayaan ini memberi inspirasi kepada semua belia berkemahiran dalam negara ini. Ramai orang berkata, Bill Gates tidak belajar pun tetapi berjaya. Namun ramai orang lupa Bill Gates berusaha keras dalam kepakarannya, menyebabkan dia berjaya. Bukannya bermalasan dan beryoyang kaki semata-mata.
Tahniah di ucapkan kepada seluruh jentera pasukan Malaysia. Kalian HEBAT.
RIZAN HASSAN
Exco
Ketua Sekretariat 1Belia 1Kemahiran
Majlis Belia Malaysia