JOHOR BAHRU: Kerajaan bersetuju untuk melantik seorang belia sebagai Ahli Dewan Negara untuk memastikan suara anak muda memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu bagi membolehkan suara dan pandangan anak muda sentiasa diberi perhatian dan diambil kira dalam setiap proses keputusan kerajaan di semua peringkat.
Kerajaan juga mengiktiraf peranan pertubuhan belia dalam pembangunan belia di pelbagai peringkat di negara ini.
“Saya bertemu dengan pemimpin MBM (Majlis Belia Malaysia) baru-baru ini dan perbincangan yang diadakan jelas menampakkan persefahaman yang wujud antara pucuk pimpinan belia dan kerajaan dalam usaha memperkukuh landasan pembangunan golongan belia di negara kita.
“MBM juga mencadangkan supaya kerajaan membentuk kumpulan khas penasihat anak muda yang menasihati saya apa yang perlu dilakukan untuk anak muda.
“Saya bersetuju dengan cadangan itu dan Insya-Allah ia akan dilaksanakan. Untuk menentukan anak muda sampai ke peringkat tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen, saya umumkan pelantikan seorang wakil belia dalam Parlimen Malaysia di Dewan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2020, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hari ini.
Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Johor mulai hari ini.
Artikel penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/721599/belia-akan-dilantik-ahli-dewan-negara-pm