Justeru ramai dalam kalangan belia yang bakal mencecah usia 40 tahun menyuarakan rasa tidak puas hati kerana faktor usia sepatutnya tidak menjadikan halangan. Sedangkan pertubuhan belia yang ramai dianggotai oleh belia dalam usia inilah yang begitu banyak mendokong pihak kerajaan malah menjadi suara alternatif kepada rakyat Malaysia.

Penulis turut menganggap cadangan ini umpama mendatangkan stroke kepada pertubuhan belia di negara ini dan pada masa sama boleh mematikan pertubuhan-pertubuhan belia sedia ada ini secara senyap. Pada masa ini, pertubuhan belia bergerak aktif dalam usia itu dan kenapa mahu dilumpuhkan?

Bukan menjadi rahsia keaktifan pertubuhan belia dipengaruhi oleh siapa yang memimpin persatuan selain sejauh mana keaktifan kegiatan pertubuhan belia. Faktor kepimpinan akan menarik lebih banyak dana dan tidak bergantung kepada dana KBS semata-mata. Kita akui, dahulu had umur pertubuhan belia yang ­ ­melebihi 40 tahun dipergunakan oleh segelintir pemimpinnya sebagai asas kuasa politik dan ekonomi peribadi. Kepentingan peri­badi begini telah mencemarkan kemurnian pergerakan belia dahulu, namun pada ketika ini suasana sebegitu telah jauh berubah.

Tiada apa yang dibimbangkan jika umur 40 tahun dikekalkan dan PBB juga tidak akan mengenakan apa-apa ­sekatan kepada Malaysia jika tidak mengikut saranan itu. Dalam pada itu, kita juga mempunyai pertubuhan belia barisan pelapis bawah 30 tahun yang boleh menyertai program belia di peringkat antarabangsa sekiranya mereka mengenakan syarat usia 30 tahun.

Apa yang paling berharga kepada belia adalah bakat kepimpinan mereka yang perlu digilap dan dibentuk menjadi pemimpin pelapis pada masa hadapan. Mereka adalah modal insan ter­penting kepada negara dan selama ini pun kerajaan memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada belia di atas sumbangan mereka.

Umur 40 tahun adalah kelompok yang strategik untuk membina karektor mereka untuk berjuang dan lebih menyerlah memperjuangkan isu-isu semasa. Jika kita terlalu taksub kepada takrifan angka usia belia, kita tidak mampu membina karektor belia dengan lebih matang malah akan membunuh semangat belia di negara ini.

Perlu diingat bahawa pertubuhan belia juga dapat mengimbangi pergerakan belia dalam politik yang rata-rata anak muda ketika ini lebih cenderung menyertai pergerakan belia daripada menyertai pertubuhan politik.

Penulis amat bimbang dengan kumpulan selepas 30 tahun di manakah platform mereka yang rata-rata masih lagi bersemangat untuk terus berjuang dan umur 30 akan cepat membunuh karektor pejuang. Sudah pasti mereka tidak akan memilih platform politik atau penerimaan NGO di bawah ROS yang rata-rata pemimpin yang agak berumur.

Biarkanlah benih kepimpinan disuburkan sehingga 40 tahun dengan platform belia kerana ini memerlukan proses matang. Kegopohan untuk memimpin pertubuhan belia di bawah 30 tahun ini akan menyebabkan kebolehan kepimpinan tidak dicapai dengan lebih matang kerana masing-masing berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin dan takut tidak sempat memimpin pertubuhan belia disebabkan mengejar sebelum usia itu.

Penulis menyarankan agar KBS memperkasakan Program Parlimen Belia Malaysia sebagai satu platform untuk belia di bawah 30 tahun. Ini perlu digerakkan dengan lebih strategik dan penuh komitmen kerana ia satu medan yang terbaik untuk melatih bakat kepimpinan di bawah 30 tahun .

Banyak perkara penting yang berkait dengan pem­bangunan belia perlu digerakkan lagi. Dengan adanya platform untuk belia usaha-usaha melahirkan golongan belia bersemangat juang yang positif, mempunyai daya resilience, daya tahan yang kuat dan mampu untuk mendepani pelbagai cabaran kehidupan yang serba mencabar. Kita harus menyedari bahawa kuasa belia mampu mengubah landskap politik negara. Mereka juga mempunyai kuasa undi yang tinggi dan seharusnya kita memberi pengiktirafan sewajarnya kepada mereka ini. Pemimpin belia bukan gilakan kuasa. Mereka menawarkan diri untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.

Pemimpin belia adalah pejuang yang tidak didendang. Ramai pemimpin belia di peringkat kebangsaan, daerah dan cawangan melaksanakan pelbagai program tanpa pengiktirafan kerana mereka berasa seronok untuk menjalankan program kerana minat dan kesungguhan mereka.

Siapa yang sepatutnya dipersalahkan jika aliran semangat perjuangan mereka akhirnya pudar dan layu akibat cantasan umur 30 tahun dan halangan yang kita sendiri wujudkan demi mengikut umur belia standard antarabangsa. Banyak lagi isu anak muda masih belum diselesaikan. Antaranya, puluhan ribu lagi belia Melayu yang terkandas di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjebak dalam gejala sosial, lumba haram, penyalahgunaan dadah dan terlibat dalam jenayah. Kita harus menyelesaikan isu-isu yang lebih penting lagi.

Pada era 1960an hingga 1980an, belia di negara ini memainkan peranan yang besar sebagai kumpulan pendesak yang dapat mempengaruhi pembentukan dasar kerajaan. Sekadar contoh, tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pemerkasaan bahasa Melayu adalah hasil perjuangan anak muda yang memiliki idealisme perjuangan yang tinggi.

Apa yang kita inginkan pertubuhan belia lebih menyerlah. Berikan belia mempunyai platform untuk terus bersuara dan menjalankan aktiviti. Pertubuhan belia pernah mengalami zaman kelesuan dan gerhana kerana dikatakan tidak lantang dan masalah kewangan. Justeru penulis mengharapkan agar jangan penjarakan umur belia di umur 30 tahun. Biarkan mereka terus bersuara sehingga 10 tahun lagi. Tiada apa yang ingin dikejar dengan takrifan umur 30 tahun sebaliknya kita semua perlu ingat bahawa selagi belia ingin terus berbakti apa salahnya diberikan platform kepada mereka.

PENULIS ialah Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)