MAJLIS Belia Malaysia (MBM) memberi harapan kepada kerajaan agar menambah peruntukan untuk Tabung Pembangunan Kemahiran dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim 18 Oktober ini.
Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid berkata, walaupun kerajaan sudah menyediakan peruntukan sebanyak RM180 juta bagi tabung tersebut pada 2023 dan 2024, namun ia perlu ditambah bagi menyokong inisiatif TVET yang sedang diperkasa masa kini.
“Kerajaan telah mengumumkan peruntukan besar untuk pembangunan TVET dalam negara.
“Oleh hal yang demikian, tabung pinjaman untuk kemahiran melalui Tabung Pembangunan Kemahiran juga perlu selaras dengan peruntukan besar untuk TVET,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Belanjawan 2024, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan RM6.8 bilion bagi memperkasakan bidang TVET, antaranya RM100 juta bagi menyediakan pensijilan profesional diiktiraf industri.
Sementara itu, RM1.6 bilion untuk menyediakan 1.7 juta tawaran latihan menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad.
Mohd Izzat Afifi berkata, seiring dengan pemerkasaan TVET, MBM berharap kerajaan dapat menambah kelas bagi Kolej Vokasional bagi menampung keperluan TVET di negara ini.
“Buat masa ini, hanya 20,822 penempatan dapat dipenuhi berbanding
68,671 permohonan yang diterima,” katanya.
Bagi pembangunan belia pula, beliau berkata, dana sebanyak RM20 juta yang diperuntukkan bagi program Rakan Muda pada Belanjawan lalu tidak mencukupi untuk menggerakkan 9.6 juta beliau berusia 15 hingga 30 tahun.
Katanya, dana khas diperlukan bagi pertubuhan belia untuk melaksanakan program transisi menghadapi perubahan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang menurunkan had umur belia dari 15-40 tahun kepada 15-30 tahun bermula 2026.
Beliau juga berharap kerajaan dapat mengembalikan inisiatif RM500 kepada belia yang terlibat di dalam program kesukarelaan dan memperluaskan umur dari 18 hingga 20 kepada 18 hingga 30 tahun.
“MBM sentiasa berharap agar setiap perancangan pihak kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan pembangunan negara berlaku secara efisien dan inklusif.
“MBM akan terus mendokong segala inisiatif yang memberi kebaikan kepada warga belia dan menjadikan pembangunan belia dan orang muda sebagai tunjang utama pembangunan negara,”katanya. – Edisi 9
Artikel penuh :