MAJLIS BELIA MALAYSIA

Belanjawan 2022: MBM Berharap Belanjawan 2022 Pemacu Pemulihan Ekonomi Negara dan Penawar Keresahan Belia

Belanjawan 2022 dibentangkan dalam keadaaan suasana yang amat mencabar namun ia telah mengambil kira semua pandangan ahli Keluarga Malaysia termasuk pemuafakatan dan persepakatan pihak Pembangkang. Justeru itu, pemuafakatan nasional ini mesti diteruskan untuk proses perbahasan, kelulusan, mekanisme penyampaian, pemantauan dan penilaian dalam Parlimen selaras semangat dan fungsi Parlimen sebagai platform dwipartisan yang berkesan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Belia Malaysia (MBM) juga boleh meneruskan peranan menjadi penyemak dan pengimbang kepada Kerajaan khususnya dalam konteks pelaksanaan Belanjawan 2022.

Secara umumnya, belanjawan ini menumpukan kepada aspek utama dan asas permintaan belia seperti penciptaan peluang pekerjaaan dengan mensasarkan penurunan peratusan pengangguran kepada 4%, penerusan skim perantisan, kemudahan pemilikan perumahan dan tawaran khusus kepada belia dalam inisiatif kelima seperti Program Latihan Industri Belia, Program Pembiayaan Usahawan, E-Start dan pusat kecemerlangan dron. Kebanyakkan tawaran Belanjawan 2020 memang terkait langsung dengan golongan belia walaupun tidak disebut secara langsung perkataan belia.

Beberapa cadangan MBM untuk belia OKU juga diterima seperti memastikan bimbingan, latihan dan tunjuk ajar untuk golongan OKU sebanyak RM10 juta dan penglibatan golongan OKU dalam bidang pekerjaan iaitu kouta khas 1% di bawah MyStep dan Jamin Kerja.

Belanjawan ini juga mengambil kira pelbagai kelompok kepentingan seperti golongan rentan, OKU, wanita dan petugas barisan hadapan. Ia juga mengambil kira pelbagai aspek seperti pendidikan, kesihatan dan alam sekitar. Namun yang paling penting ialah bantuan tunai iaitu Bantuan Keluarga Malaysia diteruskan bahkan digandakan. Ini serba sedikit melegakan rakyat Malaysia.

MBM juga menggesa pihak Kerajaan memastikan sistem penyampaian yang efisien dan menyegerakan perkara seperti bantuan tunai dan bantuan tablet bagi memberikan kelegaan kepada rakyat. Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) merupakan agensi yang mampu memantau sistem penyampaian ini dan sebagaimana yang dibentangkan YAB Perdana Menteri sendiri yang akan mempengerusikan jawatankuasa pemantau pelaksanaan Belanjawan 2022.

Tawaran-tawaran Belanjawan 2022 yang berkaitan belia melibatkan pelbagai Kementerian perlu terus diselaraskan melalui portal E-Belia yang diusahakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memudahkan para belia mencari dan mengakses peluang-peluang pekerjaan, latihan, geran keusahawanan dan tawaran-tawaran lain dalam satu portal sehenti sahaja.

MBM menyeru agar para belia mengambil dan merebut pelbagai peluang yang telah diberikan bagi memajukan diri sekaligus membantu memajukan Negara.

JUFITRI JOHA

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 29 Oktober 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »