Pembentangan Belanjawan 2021 pastinya ditunggu-tunggu ramai, termasuklah daripada pihak Majlis Belia Malaysia (MBM). Tumpuan MBM sudah tentu kepada inisiatif khas kerajaan untuk disalurkan kepada sektor-sektor tertentu yang melibatkan belia di Malaysia, terutama yang melibatkan cadangan MBM didalam Memorandum Konsultasi Belanjawan 2021. MBM mencadangkan 31 perkara dalam pelbagai bentuk inisiatif, yang melibatkan beberapa sektor utama termasuklah ekonomi, pendidikan, kesihatan dan banyak lagi.
Dalam aspek ekonomi, kerajaan telah memperuntukkan pelbagai inisiatif berjumlah RM3.5 bilion di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dalam usaha memperkasakan golongan belia. Bagi MBM, Belanjawan 2021 harus mengutamakan penciptaan pekerjaan dan pemacu perkembangan pendapatan, terutamanya untuk golongan belia. Seiring dengan itu, dicadangkan agar pihak kerajaan memperkasakan bidang pertanian dengan memperkenalkan program ‘Ladang Belia’, dengan menggunakan sepenuhnya tanah milik kementerian yang terbiar tanpa penyelenggaraan yang baik. Bidang pertanian mungkin dianggap ‘kurang popular’ oleh sebilangan masyarakat, tetapi ianya mampu melonjakkan ekonomi individu serta masyarakat secara keseluruhannya. Mendorong anak muda terbabit dalam pertanian sangat penting kerana ia peluang keemasan mengurangkan pengangguran belia yang mencatatkan 58.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pada tahun lalu. Sektor ini menyumbang sebahagian besar KDNK, iaitu 7.2 peratus dan satu-satunya industri berkembang pada suku kedua tahun ini.
MBM turut mencadangkan agar sektor pendidikan kemahiran diperkembangkan lagi dengan membina atau menambah institusi latihan kemahiran di Borneo melalui bidang yang bersesuaian dengan pasaran kerja dan perniagaan di sesebuah komuniti terbabit, sepertimana kewujudkan Institusi Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Sabah dan Sarawak. Mereka yang melengkapkan diri dengan kemahiran ini mempunyai pasaran kerja yang lebih luas. Bidang kemahiran mendapat permintaan yang tinggi di Borneo, tetapi tawaran tempat yang disediakan adalah sangat kecil. Keadaan itu berbeza di Semenanjung Malaysia. Jadi MBM berharap kerajaan dapat memberi perhatian khusus agar peruntukan dapat disalurkan supaya anak-anak Sabah dan Sarawak menerima peluang yang sama.
Penumpuan utama Belanjawan 2021 pastinya tertumpu kepada sektor kesihatan. Dengan keadaan global yang masih diancam dengan pandemik COVID-19, sektor kesihatan sewajarnya menerima peruntukan yang besar. Namun, dari aspek lain, MBM mencadangkan agar penumpuan juga wajar diberikan kepada aspek kesihatan mental. Pada tahun 2018, 7.3% pelajar sekolah menengah telah merancang untuk membunuh diri dan bunuh diri adalah punca kedua kematian selepas sakit jantung dikalangan belia di Malaysia. Ketakutan dan kegelisahan terhadap wabak pandemik COVID-19 menambahkan lagi tekanan mental terhadap diri sendiri dan masyarakat sekeliling. Justeru, adalah wajar sekiranya pihak kerajaan mengambil langkah lebih proaktif dalam membendung situasi ini dengan menggalakkan lagi pemeriksaan saringan kesihatan mental terutama dikalangan majikan dan pekerja.
Menjadi harapan besar MBM agar Belanjawan 2021 dapat dibentang dan dibahas dengan penuh rasa hormat, selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Demi pembangunan belia serta perjuangan idealisma anak muda, MBM mahukan sebuah Belanjawan yang adil, berlandaskan dasar serta prinsip negara demokrasi dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik semata-mata.
HASNUL HANIFF HARUN
Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 4 November 2020
Sila klik pautan di bawah bagi melihat draf Memorandum Belanjawan 2021 oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) yang dihantar kepada Kementerian Kewangan