Sebuah kerajaan yang telah tertubuh dengan satu misi untuk meruntuhkan kleptokrasi atau lebih dikenali sebagai merompak atas nama demokrasi pastinya memerlukan lebih luas ruang untuk tampil dengan polisi-polisi membangun negara.
Oleh kerana itu, belia Malaysia melihat peri pentingnya fokus pemimpin-pemimpin negara adalah tertumpu kepada membentuk kepercayaan rakyat dan mengarca satu sarwa pandang yang baik untuk mengangkat ekonomi rakyat. Bukan hanya tersepit dalam keletah-keletah sarkas politik yang tidak seringgitpun menambah nilai politik belia.
Antara polisi-polisi yang dilihat positif dalam intipati Belanjawan 2020 ini adalah penambahan segmen penerima Bantuan Sara Hidup untuk orang bujang dan golongan OKU. Namun demikian, adalah mustahak agar Program Subsidi Petrol disinergikan sekali dengan rakyat di Sabah dan Sarawak kerana ini akan memberi kesan kepada belia Borneo serta ternampak kontradik dengan visi kemakmuran bersama yang ingin diimplimentasikan.
Jika kita lihat komen-komen pasca belanjawan adalah semua pihak mengaut keuntungan. Keuntungan menurut Ibnu Khaldun ialah hasil daripada pendapatan yang diperolehi daripada sesuatu usaha. Manakala sesuatu itu dinamakan rezeki apabila ia boleh dimanfaatkan oleh manusia. Keuntungan dan rezeki dinilai berdasarkan tenaga dan usaha untuk memperolehinya. Semakin berusaha seseorang itu, semakin tinggi nilai keuntungannya.
Di atas frasa inilah, #MalaysiaKerja adalah satu paradigma yang mewujudkan insentif untuk reformasi pekerja di Malaysia. Skim Graduan Kerja,Wanita Kerja, Watan Kerja dan Perantis Kerja dilihat sebagai peluang yang hampir adil kepada majikan dan belia yang mencari pekerjaan. Namun demikian, wujud beberapa kebimbangan dalam kalangan pengusaha yang perlukan lebih penerangan berkait pelaksanaan 90 hari cuti untuk wanita hamil. Pendidikan produktiviti dan mewujudkan waktu kerja fleksibel juga adalah salah satu unsur yang mampu memberikan intisari kepada keseriusan kerajaan dalam mendokong aspirasi Skim Wanita Kerja.
Francis Fukuyama juga mendefinasikan model sosial sebagai aspek-aspek dari struktur huhungan antara individu yang memungkinkan mereka mencipta nilai-nilai baru. Hanya dengan mewujudkan variasi dan latar belakang pekerja, baharulah syarikat dan agensi belajar untuk mengeluarkan garis panduan dan polisi yang inklusif.
Julai 2019 telahpun menampilkan keputusan bipartisan bersejarah untuk undi 18 oleh ahli-ahli dewan rakyat dan dewan negara. Alangkah cantiknya jika momentum ini diteruskan di peringkat peruntukan yang sewajarnya kepada badan-badan terutamanya dalam menyubur pendidikan politik diperingkat sekolah dan universiti.
Tak kurang juga kepada badan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya yang secara dasarnya pasti sahaja memerlukan pertambahan peruntukan dalam adaptasi pertambahan sebanyak 7 juta pengundi baru serta pertukaran sistem kepada pendaftaran pemilih.
Dalam iklim politik di nusantara ini dan iklim politik anak muda dunia yang jelas cenderung dengan pendekatan ‘anti-establishment’ ini, MBM yakin hanya dengan mengembalikan pertubuhan belia sebagai sebuah tapak neutral, barulah suara kita dilihat signifikan dan relevan. Majlis Belia Malaysia sebagai pemegang taruh belia-belia di Malaysia bersedia menyahut seruan dan mendokong aspirasi kerajaan dalam membela belia Malaysia dengan pekerjaan yang bermaruah dan pendidikan politik yang berterusan.
‘ATIQAH SYAIRAH BT SHAHARUDDIN
PENOLONG SETIAUSAHA AGUNG MBM
Bertarikh: 25 Oktober 2019