MAJLIS BELIA MALAYSIA

BANTUAN COVID-19 PUPUK SEMANGAT MUHIBAH DAN PERPADUAN KAUM

OLEH:

SDRI. NG CHOR ENG

AHLI JAWATANKUASA KERJA MAJLIS BELIA MALAYSIA

Seluruh dunia kini terjejas dengan wabak Coronavirus (Covid-19). Banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar dan ini menyebabkan ramai pekerja yang hilang pekerjaan. Tidak kurang juga pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji dan sebagainya. Hampir seluruh rakyat di negara ini terjejas punca pendapatan apatah lagi golongan B40, OKU dan warga emas.

Baru-baru ini Relawan Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama badan gabungan daripada pelbagai kaum telah menjalankan misi bantuan mobilisasi muhibah yang memberikan manfaat kepada lebih 300 penerima terdiri dari kaum Cina, Melayu dan India di sekitar Lembah Klang.

Proses pembungkusan pek asas makanan kepada 300 penerima ini dijalankan di Gudang Malaysia Relief Agency (MRA) oleh ahli-ahli badan gabungan MBM antaranya Persatuan Belia Xiang Lian Malaysia, Majlis Belia India Malaysia (MIYC) dan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (GEPIMA).

Agihan turut dijalankan dengan kerjasama beberapa lagi badan gabungan lain termasuk Gerakan Belia 4B Malaysia, Majlis Kelab Belia Bell Tamil Malaysia (MKBBT) dan Persatuan Belia Hindu Malaysia (HYO).

Ini merupakan sebahagian usaha yang digerakkan oleh Relawan MBM semenjak awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada pertengahan Mac lalu dengan dokongan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS).

Bantuan Relawan MBM kepada golongan yang terjejas dan memerlukan meliputi belia, mahasiswa, OKU, warga emas dan rakyat tanpa mengira kaum dan agama termasuk di Sabah dan Sarawak.  Selain sifat keprihatinan, mesej muhibah dan perpaduan kaum cuba disampaikan oleh Relawan MBM kepada khalayak kerana kemanusiaan tidak mengenal kaum dan agama. Di sebalik wabak yang menimpa ini, terserlah sikap dermawan rakyat Malaysia dalam membantu golongan yang terkesan dengan Covid-19 tanpa mengira kaum dan agama. Inilah semangat muhibah dan perpaduan atau bless in disguise yang terjana daripada musibah Covid-19.

Ketika Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican menyampaikan bantuan awal RM100,000 kepada MBM untuk menggerakkan bantuan kecemasan Covid-19 pada akhir Mac lalu, beliau mempertegaskan gerakan membantu mangsa Covid-19 yang dimobilisasikan oleh Relawan MBM harus memperlihatkan kepelbagaian kaum dan agama bersesuaian dengan fungsi dan peranan MBM selain Malaysia sebagai negara majmuk.

Badan gabungan MBM yang merentas kaum dan agama juga turut aktif menggerakkan usaha fund raising dan bantuan fizikal Covid-19 dalam bentuk makanan, pelindung/pelitup muka (face shield/mask), dan cecair pencuci tangan (sanitizer) di seluruh pelusuk tanahair. Sudah sememangnya fungsi dan peranan MBM semenjak merdeka menyatukan suara dan aspirasi belia pelbagai kaum dan agama. Peranan penting ini akan terus dimainkan secara proaktif oleh MBM dari masa ke semasa.

MBM sentiasa bersedia berganding bahu bersama Kerajaan dalam menjayakan agenda perpaduan sebagaimana penglibatan aktif MBM melalui Jawatankuasa Perpaduan dan Integrasi Nasional MBM di bawah Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA), Jabatan Perpaduan Negara.

Bertarikh :  11 Jun 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »