MAJLIS BELIA MALAYSIA

Banteras video lucah, elak umat Islam musnah

SAYA berasa terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan yang melibatkan penyebaran video lucah yang semakin berleluasa sekarang.

Saya berpendapat adalah lebih bermakna dan jihad yang sangat dituntut jika pihak berkuasa boleh menyaman dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik video lucah sama ada telefon bimbit atau mana-mana media. Langkah ini pasti mendapat sokongan 150 peratus daripada semua pihak.

Malah, jika kerajaan mahu menjana pendapatan melalui saman-menyaman, saya cadangkan agar satu pasukan khas dibentuk untuk membanteras video porno dan lucah yang amat berleluasa sekarang.

Sayangnya sehingga kini, kerajaan hampir memejamkan mata dalam isu pornografi seolah-olah negara kita menjadi tempat lambakan bahan lucah yang sukar dan tidak dapat dikawal lagi.

Tidak ada satu pun langkah tegas yang dilakukan sehingga kini kepada para perakam atau pelakon lucah yang berkenaan sejak dahulu hingga sekarang. Malah semakin ramai anak muda berani merakam serta menyebarkan bahan tersebut. Jika di Indonesia, tindakan tegas telah diambil oleh kerajaan mereka termasuk memenjarakan mereka yang terlibat, misalnya dalam kes penyanyi Peterpan, Ariel. Namun, di Malaysia adegan lucah yang pernah dirakamkan melibatkan artis tempatan tidak pernah disiasat oleh sesiapa pun sehingga kini.

Kita mempersoalkan badan manakah yang sepatutnya berhak mengekang penularan wabak paling dahsyat ini sehingga boleh diakses oleh sesiapa sahaja dan di mana-mana tanpa ada batasan. Kesannya, negara pasti akan melihat lebih banyak lagi kes pembuangan bayi, gejala maksiat tanpa kawalan, kes-kes rogol serta bermacam adegan tidak diingini yang terus berleluasa sehinggakan kelak status negara kita yang dilihat hebat oleh kebanyakan negara Islam akan dipandang lekeh oleh masyarakat luar. Ini kerana kehancuran nilai-nilai hidup murni masyarakat semakin jelas kelihatan akibat penularan wabak dahsyat adegan lucah di tangan para remaja, belia, orang dewasa dan golongan tua.

Malah bukan perkara luar biasa jika para remaja boleh membeli sebuah set telefon bimbit yang sudah siap tersedia berpuluh-puluh rakaman video lucah di dalamnya. Hari ini juga, bukan perkara pelik atau ajaib jika seorang ustaz atau guru agama memiliki video lucah sama ada di dalam telefon bimbit atau komputer, apatah lagi orang biasa yang jahil ilmu agamanya.

 

Ini kerana unsur-unsur itu telah menjadi satu kebiasaan. Justeru itu, satu langkah yang sangat tegas perlu segera diambil. Selain itu, jika kerajaan ingin menyelamatkan akidah serta keimanan orang Islam yang semakin ramai memiliki dan suka kepada bahan-bahan lucah, maka penguatkuasaan tegas oleh semua pihak perlu dilakukan segera.

Saya tidak nampak lagi jalan lain untuk keluar dari masalah ini. Saman sesiapa sahaja yang menyimpan atau memiliki rakaman porno. Jika ia boleh dilakukan, sekurang-kurangnya orang ramai akan mula bimbang untuk menyimpan atau menyebarkan bahan tersebut. Saya percaya jika tiada tindakan dan langkah dilakukan selepas tulisan ini dibaca, maka anggaplah pihak yang berkenaan bersedia untuk melihat lebih banyak kehancuran nilai dan akhlak umat Islam di negara kita.

Penjajahan minda oleh golongan anti Islam dalam negara (peniaga VCD & telefon bimbit) serta Yahudi dan barat dengan melemahkan iman serta akhlak umat Islam sebenarnya sudah sangat berjaya kerana sikap kita yang membiarkan perkara ini berlaku tanpa kawalan.

Saya pun sebenarnya sudah malas menulis di mana-mana ruangan tetapi perasaan ini tidak dapat dibendung kerana jika tidak disuarakan, ia akan terbuku di hati, sekalipun saya tahu kadangkala ia umpama ‘mencurah air di daun keladi’.

Jika para pemimpin dan penguatkuasa yang terlibat membaca artikel ini, lakukan sesuatu dengan segera sebelum pelbagai iklan lucah dipaparkan di TV seperti iklan tuala wanita yang tidak sepatutnya dijadikan bahan tontonan secara terbuka.

LUKMAN MOIDIN

Kaunselor Berdaftar

Kedah

Last Updated ( Wednesday, 18 August 2010 13:24 )

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »