MAJLIS BELIA MALAYSIA

BAJET HARAPAN BELANJAWAN 2020 NTUK BELIA DALAM BIDANG PERTANIAN

Golongan belia menaruh harapan besar kepada pihak kerajaan sebagai pemegang taruh nasib dan masa depan para belia Malaysia sebagai pewaris negara pada masa hadapan. Dengan peluang pekerjaan yang dilihat cukup sukar didapati pada hari ini, bidang pertanian dilihat sebagai antara mekanisme alternatif utama kerajaan untuk memberi peluang kerja kepada rakyat khususnya anak muda. Negara kita mengimport sebanyak RM 50.5 bilion sumber makanan dari negara luar pada tahun 2018 yang dilihat sebagai kebergantungan yang cukup besar dan berisiko kepada negara asing sedangkan Malaysia mempunyai rizab tanah pertanian yang cukup luas dan sangat subur.

Stigma pemahaman yang jauh menyimpang dan tersasar iaitu bidang pertanian sebagai bidang ekonomi kelas kedua atau ketiga serta tidak mampu memberi pendapatan lumayan dan tidak berdaya maju perlu diubah dan diberi takrifan baru agar dapat menarik lebih ramai lagi golongan belia telibat dalam bidang ini. Ramai jutawan pertanian di luar sana yang cukup serius dan bertungkus lumus dalam bidang ini telah berjaya walaupun menempuh pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang perjalanan mereka untuk memartabatkan bidang ini. Bidang pertanian adalah sumber pendapatan yang sangat lumayan kerana setiap hari masyarakat akan memerlukan kepada sumber makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Bajet 2020 dilihat sebagai inisiatif yang menarik disediakan pihak kerajaan, namun begitu kerajaan perlu memberi fokus terus sebagaimana geran di bawah Unit Agropreneur Muda yang menyasarkan peruntukan kepada golongan sasar di bawah umur 40 untuk usahawantani di kalangan golongan belia. Dana bantuan berupa geran dan kemudahan pinjaman yang mesra belia seperti kaedah yang diguna pakai di pusat gadaian Arrahnu yang dilihat mudah lulus dengan bercagarkan hartanah sangat sesuai bagi projek pertanian berskala kecil di bawah RM 50,000. Ini kerana selepas para belia menghadiri kursus berkaitan dalam bidang pertanian, masalah ketiadaan modal permulaan projek menjadi antara kekangan utama untuk mereka memulakan projek pertanian. Bidang yang cukup dekat dengan masyarakat kerana Malaysia dikurniakan tanah yang sesuai dan selamat dari bencana alam ini jika diuruskan dengan betul mampu membantu kehidupan seharian rakyat serta ekonomi negara secara keseluruhan. 

Kerajaan dilihat serius dalam pembentangan bajet untuk memperkasa dan meningkatkan pendapatan para petani melalui bantuan dan juga insentif. Bajet yang boleh dikatakan cukup besar untuk industri tani sebanyak RM 4.9 bilion perlu dipastikan salurannya mencapai sasaran. Golongan yang terlibat dalam bidang pertanian di Malaysia pada hari ini adalah secara puratanya adalah mereka yang sudah berusia 50 tahun dan ke atas. Peranan pegawai pemantau dan pemudahcara antara rakyat dan kerajaan juga perlu ada KPI khusus di mana rakyat dapat menilai bantuan mereka setiap tahun sekaligus mengurangkan birokrasi rakyat bawahan dengan pegawai kerajaan. Galakan dan peluang perlu seiring kerana apabila belia yang berminat mahu terlibat dan bergelumang dalam bidang ini wajib dibantu serta disokong dan juga dipantau secara berkala dan berterusan. Kalaulah bidang sukan yang mensasarkan untuk memperoleh pingat Emas Olimpik pertama negara dan bidang berteknologi tinggi lain kerajaan mampu menyediakan dana yang cukup besar, mengapa pula dalam bidang yang cukup dekat di hati rakyat iaitu bekalan makanan negara kerajaan dilihat sangat berkira-kira untuk anak muda.

Masalah yang sentiasa membelenggu para petani setiap tahun adalah berkaitan sistem pengairan sumber air iaitu di mana apabila hujan turun lebat dan menenggelami serta memusnahkan tanaman dan apabila tiba musim kemarau pula banyak kawasan yang terjejas kerana terputus bekalan sumber air. Kerajaan perlu merangka rancangan jangka panjang iaitu mewujudkan kawasan tadahan air seperti empangan ataupun mini empangan bagi menampung air hujan yang cukup banyak ketika musim tengkujuh terutamanya di kawasan Pantai Timur. Kelebihan empangan ini akan memastikan hasil tanaman tidak tenggelam ketika musim banjir serta juga dapat memberi sumber pengairan ketika musim kemarau. Kerajaan perlu melihat kepentingan untuk membantu petani secara berterusan dan bukan sekadar hanya membantu ketika musim banjir sahaja ini kerana negara Malaysia sangat konsisten dengan fenomena banjir ketika hujung tahun. Para petani perlu diberi penyelesaian untuk jangka panjang dan tidak hanya diberikan pampasan apabila tanaman musnah tenggelam sahaja. Sistem pengairan sesetengah kawasan padi di negeri Kelantan khususnya sudah lama tidak dibaik pulih dan selenggara dengan baik dan ada dikatakan dibuat semasa zaman penjajah lagi.

Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, kita masih bergantung kepada nelayan dari negara luar untuk menangkap ikan di perairan negara kerana tidak ramai anak muda yang berminat dalam penangkapan ikan laut dalam. Mungkin kerajaan boleh membantu dari segi bantuan berupa insentif pendapatan serta modul simulasi berada di lautan supaya mereka lebih bersedia dari segi fizikal dan mental. Peruntukan musim tengkujuh berupa bantuan elaun sara hidup kepada para nelayan yang ditingkatkan dari RM 200 kepada RM 250 dari tahun sebelumnya diharap dapat membantu khususnya nelayan muda yang mempunyai tanggungan keluarga serta anak kecil kerana mereka tidak dapat turun ke laut pada hujung tahun. Keluarga nelayan khususnya nelayan muda juga perlu dibantu melalui projek seperti industri pemprosesan makanan di rumah yang mampu menampung sedikit sebanyak keperluan harian terutama ketika musim tengkujuh.

Bantuan sebanyak RM 200 juta untuk pekebun getah ketika musim tengkujuh serta RM 100 juta juga sebanyak insentif pengeluaran Getah dilihat sebagai tindakbalas kerajaan untuk membantu para pekebun yang cukup terkesan dengan harga getah yang masih lagi berada pada tahap rendah. Walaubagaimanapun kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan kepada pekebun getah yang berminat untuk integrasi kebun mereka melalui projek ternakan lembu dan juga kambing untuk menambah pendapatan. Sistem pawah mungkin dapat digunakan sebagai alternatif kepada bantuan ini agar lebih ramai yang mendapat manfaat.

Peruntukan yang cukup besar iaitu sebanyak RM 150 juta sebagai galakkan tanaman kaedah Fertigasi bagi tanaman cili, nanas, tembikai dan buluh perlu diambil peluang oleh para petani muda. Kaedah tanaman fertigasi yang merupakan antara medium pertanian moden perlu dipelajari dengan sebaik-baiknya. Para belia diharap dapat merebut peluang yang tersedia untuk meningkat ilmu pertanian moden ini dengan sebaiknya.

Akhir sekali Majlis Belia Malaysia (MBM) yang mempunyai keahlian di pelbagai peringkat daerah dan negeri memohon dan berharap agar pihak kerajaan dapat membela nasib para usahawan tani khususnya para belia agar hasrat dan cita-cita kerajaan menjadikan keselamatan makanan negara dapat direalisasikan bersama dengan para belia. Pihak MBM juga amat berbesar hati andaikata pihak kami boleh dilibatkan bersama dengan pihak kerajaan dalam merangka dan menyalurkan bantuan agar para belia dapat merasai peluang serta ruang yang disediakan oleh pihak kerajaan. MBM juga amat mengharapkan agar bajet dalam belanjawan yang baru sahaja dibentangkan dapat sampai kepada mereka yang disasarkan dan tidak berlaku ketirisan di pertengahan jalan.

Kerajaan tidak akan sesekali rugi melabur dan memberi kepercayaan dalam bidang pertanian kepada anak muda sebagai persediaan negara untuk jangka panjang. Sasaran agar Malaysia sebagai negara pengeksport sumber makanan dunia perlu digerakkan dari sekarang dan para belia harus dilibatkan sekali sebagai pelapis usahawan agromakanan yang berjaya. Pendidikan dan pendedahan awal bidang pertanian perlu diberikan lebih awal kepada para pelajar bermula di peringkat sekolah menengah lagi supaya mereka mendapat maklumat yang betul dan membaiki persepsi bahawa bidang ini sangat berpotensi dan lumayan untuk diceburi.

ABDUL HAFEEZ BIN ABDULLAH

PENGERUSI BIRO PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI 

MERANGKAP; EXCO MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh: 30 Oktober 2019

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »