MAJLIS BELIA MALAYSIA

BAJET 2020 KURANG MEMBERI IMPAK KEPADA RAKYAT SABAH DAN SARAWAK

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan tempoh hari. Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada pihak Kerajaan Baharu di atas pembentangan Bajet 2020 yang bertemakan Wawasan Kemakmuran Bersama.

Namun Demikian, sebagai orang Kepulauan Borneo saya merasakan bahawa Bajet 2020 yang telah dibentangkan agak kurang memuaskan dan masih belum dapat memberikan impak yang besar khususnya kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.

Jika kita semak balik bajet tersebut, kita dapati peruntukan yang disalurkan ke negeri Sabah dan Sarawak adalah tidak mencukupi untuk ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia yang mana banyak projek-projek yang berstatus mega telah diumumkan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Walaubagaimanapun, kami tetap bersyukur kerana pihak Kerajaan Persekutuan telah memberikan peruntukan kepada beberapa aspek penting antaranya ialah pembangunan Inklusif seperti memperluaskan liputan infrastruktur asas bagi kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak dengan nilai RM587 juta dan RM470 juta bagi melaksanakan projek bekalan air luar bandar dan RM1 billion untuk membina jalan luar bandar.

Namun, kami mengharapkan agar ianya akan menjadi realiti dan bukan hanya sekadar janji-janji semata-mata ataupun atas kertas sahaja tetapi apabila tiba masa pelaksanaan ianya sekadar indah khabar dari rupa. Berilah peruntukan yang sewajarnya untuk negeri Sabah dan Sarawak jika benar pemimpin-pemimpin Kerajaan Baharu ini menganggap Sabah dan Sarawak adalah sebagai rakan kongsi seperti mana yang termaktub di dalam Malaysia Agreement 1963 (MA63).

Dari konteks belia pula, saya tidak nampak apa-apa peluang ataupun keistimewaan untuk belia di sini. Malah dana bantuan untuk pembangunan dan pemerkasaan pertubuhan belia juga tidak dinyatakan secara spesifik di dalam Bajet 2020. Selain itu, tidak jelas di manakah peluang pekerjaan yang akan diberikan khas untuk anak-anak muda Sabah dan Sarawak seperti yang diumumkan bahawa sebanyak 350,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan pada tahun hadapan.

Akhir sekali, saya mewakili Belia Orang Borneo (BOB) mengharapkan agar pihak Kerajaan Malaysia Baharu akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada untung nasib rakyat Sabah dan Sarawak dalam merealisasikan hasrat Belanjawan 2020 agar kami orang Borneo tidak lagi merasa terpinggir apatah lagi jauh ketinggalan daripada kemajuan dan pembangunan yang hanya rancak di tanah Semenanjung Malaysia.

Harus diingat bahawa sebahagian besar daripada kekayaan dan sumber ekonomi Kerajaan Malaysia hari ini adalah diperolehi daripada tanah Kepulauan Borneo Sabah di Bawah Bayu dan Sarawak Bumi Kenyalang sejak dari dahulu lagi.

AZUWAN BIN MARJAN@NORJAN

NAIB PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

MERANGKAP;

PENGERUSI JAWATANKUASA TUGAS-TUGAS KHAS SABAH,

SARAWAK & WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

Bertarikh :  23 Oktober 2019

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »