MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bahana Covid-19: mengingati yang memerlukan

Oleh:

Jufitri Bin Joha

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Pandemik Covid-19 telah membawa kesusahan dan ketakutan di seluruh dunia tidak terkecuali Malaysia. Ramai yang jatuh miskin dan berlaku mobilitisi sosial daripada M40 jatuh menjadi B40. Banyak usaha dan tenaga telah dikerahkan untuk membantu golongan miskin, dibuang pekerjaan dan perniagaan terjejas.

Dunia jatuh miskin dek bahana Covid-19 dan dijangkakan akhir tahun 2020, tambahan sebanyak 100 juta penduduk dunia lagi akan jatuh menjadi fakir miskin. Negara-negara yang sudah sedia miskin sebelum pandemik akan terus jatuh miskin. Syria sebagai contoh, 4 daripada 5 rakyat Syria sudah sedia miskin apabila hampir sedekad berperang. Ketika saya mengepalai projek bantuan kemanusiaan Malaysia Life Line fo Syria (MLLFS) di bawah Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang juga merupakan agensi bantuan kemanusiaan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), pelbagai jenis bantuan disalurkan kepada pelarian Syria sama ada yang menjadi pelarian di dalam negara (Internally Displaced People atau IDP) mahupun yang menjadi pelarian di sekitar Asia Barat dan ada juga yang lari ke Malaysia.

Namun pandemik merencatkan usaha ini kerana rakyat Malaysia juga ramai yang jatuh ke garis kemiskinan dan memerlukan bantuan. Sudah jatuh ditimpa tangga begitulah nasib yang menimpa pelarian Syria yang sehingga kini masih dihujani peluru dan bom ditambah dengan ujian Covid-19, berat mata melihat berat lagi bahu memikul.

Walaupun sibuk dengan urusan Majlis Belia Malaysia (MBM), saya masih menerima laporan langsung daripada aktivis kemanusiaan di lapangan termasuk daripada Sdr. Mohammad Abdullatif daripada ATAA Relief. Selepas hampir 9 tahun perang saudara, situasi Syria terus memburuk dengan akhir tahun 2019 mencatatkan 6.2 juta rakyat Syria menjadi IDP dengan keperluan mendesak kepada bantuan kemanusiaan, makanan asas dan perubatan. Golongan rentan seperti kanak-kanak, wanita hamil, OKU dan warga emas adalah yang terkesan teruk. Dengan keadaan dunia dalam kesusahan, maka nasib mereka semakin ditelan masa dan zaman.

Dengan suasana perang yang masih berterusan, kejadian banjir di sesetengah tempat, kejatuhan mata wang Syrian Pound (SYP) sehingga 90% lemah dibanding permulaan awal tahun ini, pengangguran yang tinggi, kenaikan harga barang keperluan dan musibah Covid-19 melengkapkan lagi kesusahan mereka. Mereka juga sedang berhadapan dengan musim sejuk yang menyukarkan dalam tempoh 3-4 bulan ini.

Belum lagi diceritakan kesusahan di negara-negara lain seperti Palestin yang masih terus dijarah oleh Israel. Timor Leste yang walaupun kes Covid-19 tidak tinggi, kemiskinan terus membelenggu kerana industri pelancongan yang lumpuh. South Sudan yang masih terkesan dengan 5 dekad perang dengan 12 juta yang kebuluran setiap hari dan 4.2 juta kanak-kanak gelandangan.

Ini benar-benar menginsafkan kita, belia dan rakyat Malaysia kerana sekurang-kurangnya kita masih berada di Malaysia cuma kita perlukan semangat luar biasa untuk bangkit. Bagi yang diberikan kelebihan rezeki dan kudrat, teruskan membantu rakyat Malaysia yang susah di samping menghulurkan sedikit derma kepada sahabat-sahabat kita di luar Negara. Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang dikemudi pemimpin belia yang mempunyai track record yang baik membantu rakyat Malaysia dan masyarakat luar negara mampu menjadi perantara bagi menyalurkan sumbangan-sumbangan tersebut. GPM yang merupakan rakan strategik MBM juga aktif membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan Covid-19 khususnya di Sabah. Semoga sedekah kita diberkati dan memakmurkan semula Malaysia untuk bangkit daripada pandemik. Malaysia harus terus bangkit, memerangi Covid-19, menangani ekonomi dan menyelesaikan ribut politik dalaman bagi kembali semula menjadi pembela kemanusiaan dan keamanan sejagat.

Bertarikh : 30 November 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »