Oleh :
Sdr. Thai Ming Yeow
Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia
Pengenalan
Rukun Negara diumumkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Nasiruddin Shah, Yang Dipertuan Agung keempat pada 31 Ogos 1970 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-13 susulan kejadian peristiwa konflik etnik yang tercetus pada 13 Mei 1969 dilaporkan telah meragut lebih kurang 200 nyawa. Untuk menangani situasi tegang dan ketidakstabilan yang menjejaskan ketenteraman rakyat dan membantutkan pembangunan negara, Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan darurat selama 18 bulan untuk memulihkan ketertiban dan ketenteraman negara. Rukun Negara merupakan salah satu usaha Kerajaan yang dibincangkan dan diusulkan sebagai penyelesaian kepada isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan nasional serta garis panduan yang positif dan pragmatik untuk menggalakkan integrasi nasional dan perpaduan antara kaum serta pembangunan identiti nasional dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menjelang Hari Merdeka ke-64 pada tahun ini, Rukun Negara akan menyambut ulang tahun yang ke-51 pengisytiharannya. Sudah pasti hampir semua warga Malaysia telah mengetahui kelima-lima prinsip Rukun Negara yang sering dilafazkan di dalam majlis-majlis rasmi, dicetak di kulit buku latihan dan risalah, disiarkan dalam media perdana dan diajar dalam sukatan pelajaran baik daripada peringkat pra-sekolah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Namun begitu, dipercayai ramai dalam kalangan rakyat Malaysia belum mengetahui tentang cita-cita, objektif atau aspirasi Rukun Negara seperti yang tertera di bahagian pertama Rukun Negara. Apatah lagi dengan penghayatan dan penerapan prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian sebagai asas kepada pembinaan bangsa Malaysia.
Rukun Negara terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama menyatakan cita-cita atau aspirasi negara demi mencapai perpaduan dalam seluruh masyarakat, memelihara cara hidup demokratik, keadilan dan kesaksamaan dalam pengagihan kemakmuran, cara liberal terhadap kepelbagaian kebudayaan serta kemajuan dan pemodenan. Manakala bahagian kedua ialah lima prinsip yang sering dilafazkan dalam majlis rasmi yang tidak terasing kepada semua warganegara yang terdiri daripada Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. Pemahaman terhadap kedua-dua bahagian cita-cita dan prinsip adalah penting kerana kedua-dua bahagian adalah saling berhubung kait di antara satu sama lain. Cita-cita bagaikan penanda arah yang menerangkan apakah yang hendak dicapai oleh negara dan bangsa, manakala prinsip-prinsip umpama jalan yang perlu diikuti untuk mencapai cita-cita tersebut.
Memandangkan negara akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 dan ulang tahun Rukun Negara ke-51 tidak lama lagi, adalah wajar bagi kita sama-sama mengimbas kembali apakah aspirasi Rukun Negara yang berperanan sebagai hala tuju besar pembinaan bangsa dan terma rujukan asas kepada penggubalan dasar-dasar negara. Walaupun pada secara spesifiknya, ia dilihat sebagai aspirasi dan prinsip untuk perpaduan negara. Sekiranya kita melihat melalui konteks yang lebih meluas dan mendalam, ia meliputi pelbagai aspek pembangunan negara termasuk politik, ekonomi, sosial dan teknologi dengan mengambil kira perpaduan nasional sebagai asas pembangunan. Dengan wujudnya kedamaian, keharmonian dan ketertiban dalam masyarakat, negara dapat membangun dengan pesat dan menjana kemakmuran. Dengan adanya kemakmuran dan kemajuan, rakyat dapat menikmati dan berkongsi hasil tersebut melalui kenaikan taraf hidup.
Aspirasi 1: Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya
Kepelbagaian merupakan hakikat di semua negara di seluruh dunia terutamanya di negara yang pernah dijajah oleh kuasa-kuasa Barat. Perbezaan dari segi kaum, agama, kelas sosial, tahap pendidikan, bahasa, generasi, jantina, fahaman dan faktor ruang (bandar – luar bandar) kerap menjadi titik cetusan kepada pergeseran, perselisihan dan konflik. Hal ini tidak terkecuali bagi negara yang terdiri daripada kaum, budaya dan bahasa yang sama. Dengan kemajuan sistem pengangkutan dan teknologi komunikasi pada zaman kini, sifat kepelbagaian dan interaksi antara manusia menjadi semakin ketara dan kompleks.
Oleh itu, adalah penting bagi kita menerima hakikat kepelbagaian yang wujud dan cuba sedaya upaya untuk hidup bersama secara harmoni dalam kepelbagaian. Menurut hujah ahli akademik, Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, perpaduan yang berbentuk “perpaduan dalam keseragaman” (unity in uniformity) merupakan suatu impian yang belum tercapai dan sukar direalisasikan. Perpaduan hanya dapat dicapai sekiranya semua warga bersetuju dan mencapai kata sepakat dalam sebahagian besar isu masyarakat. Apa yang dicapai kini ialah kesepaduan sosial, suatu keadaan yang aman, stabil dan makmur sejahtera di dalam masyarakat berbilang kaum. Ini merupakan salah satu prasyarat kepada perpaduan
Meskipun perpaduan belum tercapai, Malaysia masih menjadi pujian dan teladan di mata dunia dari segi kemakmuran ekonomi, kestabilan politik dan keharmonian hubungan antara etnik. Semua warga Malaysia dapat berunding, bertolak ansur, saling memahami dan akomodasi demi mewujudkan keharmonian dan ikatan sosial. Usaha ini wajib diteruskan dan dipertingkatkan agar keharmonian dan keamanan dapat dinikmati oleh semua warga Malaysia secara berterusan. Identiti bangsa Malaysia harus diutamakan berbanding dengan sifat perbezaan dari segi perkauman, agama, budaya, bahasa dan sebagainya walaupun ianya merupakan aspek penting yang tidak boleh dipertikaikan.
Untuk merealisasikan aspirasi perpaduan, prinsip kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara serta kesopanan dan kesusilaan harus diamalkan dalam kehidupan seharian. Agama dan kerohanian mendorong kita ke cara hidup yang mulia, mencinta keamanan dan prihatin kepada orang lain. Walaupun wujud perbezaan doktrin dan teologi di antara agama, penganut agama yang berbeza masih dapat hidup secara harmoni dengan fokus kepada nilai-nilai murni sejagat yang terkandung di dalam agama. Persefahaman dan penerimaan antara satu sama lain dapat dipertingkatkan melalui interaksi positif penganut pelbagai agama dan mengelakkan salah faham. Apabila semua warga dapat saling memahami, pergeseran dan ketidakpuasan dapat dielakkan atau dapat ditangani melalui perundingan, perbincangan dan mediasi untuk menghasilkan situasi yang menang-menang.
Pencapaian dan kemajuan sesebuah negara adalah hasil daripada sumbangan kolektif setiap warganegara. Maju atau mundur sesebuah akan dirasai dan dialami oleh setiap rakyatnya. Oleh itu, semangat kekitaan dan mencintai negara mesti wujud di dalam hati setiap warganegara Malaysia. Kita harus bangga sebagai warga Malaysia dan inginkan negara kita maju, stabil, makmur dan harmoni supaya kita semua dapat menikmati bersama segala yang baik daripada negara, Bah kata pepatah “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”, kita harus ambil iktibar daripada peristiwa sejarah pahit yang pernah berlaku di dalam dan luar negara bahawa konflik dan keganasan tidak akan mendatangkan hasil yang memanfaatkan. Apabila negara dalam keadaan huru-hara, rakyat turut menderita.
Kesopanan dan kesusilaan merupakan kunci kepada penjalinan hubungan yang baik apabila kita berinteraksi dengan orang lain. Seseorang yang bersopan santun dan bertatasusila dapat dicerminkan melalui tingkah laku dan pertuturannya. Masyarakat akan menjadi lebih harmoni dan aman sekiranya prinsip kesopanan dan kesusilaan dapat diamalkan oleh semua warga di setiap lapisan masyarakat supaya pertengkaran, pergeseran dan konflik akan dapat diminimumkan dan segala isu dapat ditangani dengan cara yang rasional dan berhemah.
Aspirasi Kedua: Memelihara cara hidup demokratik;
Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja berperlembagaan. Demokrasi adalah satu sistem kerajaan di mana semua rakyat di sesebuah negara terlibat dalam pemerintahan melalui undi untuk memilih wakil-wakil bagi perhimpunan atau parlimen. Antara ciri-ciri demokrasi adalah kerajaan dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya, warganegara bebas menyertai politik atau gerakan sivil, semua rakyat dilindungi oleh hak asasi manusia dan wujudnya kaedah undang-undang dan prosedur yang digunakan sama rata terhadap semua rakyat.
Tambahan kepada sistem demokrasi, sistem Raja berperlembagaan juga diamalkan di Malaysia di mana Yang Dipertuan Agung sebagai Ketua Negara dan Raja Perlembagaan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Baginda mempunyai bidang kuasa yang meluas dan memainkan peranan yang penting dalam tiga cabang kerajaan – eksekutif, perundangan dan kehakiman. Berbanding dengan sistem monarki mutlak di mana Raja memiliki kuasa mutlak dalam pemerintahan sesebuah negara, kuasa Yang Dipertuan Agung adalah berdasarkan perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Di peringkat negeri, 9 buah negeri yang mempunyai Raja diketuai oleh Sultan, Raja atau Yamtuan Besar manakala 4 negeri yang tidak beraja, Yang Dipertua yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agung sebagai lambang kepada negeri yang berkenaan.
Prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang adalah relevan dengan aspirasi demokrasi di mana semua rakyat memiliki hak-hak dan kebebasan berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang. Rakyat bebas untuk melakukan segala aktiviti ekonomi, sosial, politik dan sebagainya dengan syarat tidak melanggar undang-undang negara.
Untuk merealisasikan aspirasi ini, semua rakyat wajib memahami hak-hak mereka selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa. Penyalahgunaan sistem demokrasi boleh menjejaskan kestabilan dan memusnahkan demokrasi negara. Apabila negara berdepan dengan masalah dan cabaran, kepentingan bangsa dan negara harus diutamakan lebih daripada kepentingan kaum, puak dan kelompok demi kesejahteraan dan kedaulatan negara.
Aspirasi Ketiga: Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
Aspirasi masyarakat yang adil akan wujud apabila semua rakyat diberikan peluang yang sama untuk menikmati kemakmuran dan kekayaan negara. Semua rakyat harus diberi peluang yang sama untuk mencipta kekayaan, menerima kebajikan, mendapatkan pendidikan, perlindungan undang-undang, capaian kepada kemudahan dan mengamalkan adat resam, budaya dan sebagainya.
Ketidakadilan dan ketidaksaksamaan boleh mengundang rasa tidak puas hati dan kemarahan daripada golongan yang terpinggir atau dipertikaikan dan berkemungkinan mencetuskan konflik di dalam masyarakat.
Adil dan saksama bukan bermaksud setiap warganegara diberikan kemudahan atau agihan kebendaan yang sama dari segi kuantiti tetapi mengikut keperluan masing-masing. Sikap inklusif, prihatin dan peka harus diamalkan supaya mereka yang lemah diberi bantuan agar memiliki peluang yang sama untuk bersaing dengan pihak yang lebih maju. Contohnya pendidikan khas kepada golongan yang mengalami cabaran fizikal, bantuan keusahawanan kepada golongan miskin tegar dan peluang pekerjaan kepada bekas banduan. Perkara ini penting bagi memastikan tiada sesiapa yang dipinggirkan.
Aspirasi Keempat: Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
Istilah liberal kerap menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat Malaysia terutama yang konservatif. Ramai yang berpersepsi bahawa perkataan ini bermaksud kebebasan untuk melakukan apa-apa sahaja mengikut kehendak dan naluri masing-masing. Ada juga yang menyamakan liberal dengan budaya barat yang bersifat individualistik, hedonistik dan bebas melakukan apa-apa sahaja tanpa batasan di atas nama demokrasi dan liberalisme.
Dalam konteks ini, liberal merujuk kepada kesudian untuk menghormati dan menerima kelakuan atau pandangan yang berbeza daripada dirinya sendiri dan terbuka kepada idea-idea yang baharu. Dalam dunia ini kebebasan mutlak tidak wujud di mana-mana negara, biarpun negara-negara Barat yang mempunyai ruang kebebasan yang tinggi masih mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi walaupun konteks sosial dan norma hidup negara-negara barat mempunyai perbezaan yang ketara berbanding dengan negara-negara timur. Kita perlu arif dan bijaksana dalam menilai apakah amalan baik yang patut dicontohi seperti budaya ilmu, saintifik, penyelidikan, inovasi, pemikiran kritis dan analitis, dan mengabaikan segala budaya yang tidak sihat dan tidak sesuai untuk masyarakat Malaysia.
Kekayaan kebudayaan, tradisi, adat resam dan kepelbagaian agama yang diamalkan oleh berbagai-bagai kaum adalah salah satu kekuatan dan keunikan Malaysia. Bah kata “tak kenal maka tak cinta”. Sikap yang liberal dan terbuka dapat menggalakkan penerimaan dan hormat-menghormati di antara sama lain yang kondusif kepada persepaduan sosial dan perpaduan negara. Selain itu, sikap yang liberal juga menggalakkan interaksi dalam komuniti yang pelbagai dan menggalakkan perkongsian pengalaman serta percambahan idea baharu ke arah kemajuan negara.
Aspirasi Kelima: Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan sedang membangun, Malaysia perlu mengekalkan daya saing dan berkembang maju seiring dengan rentak pembangunan global. Penggunaan sains dan teknologi adalah instrumen yang menentukan kemajuan dan daya saing sesebuah negara dari segi tahap pembangunan dan kemakmuran.
Penggunaan sains dan teknologi moden dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti negara dan terus menyumbangkan kepada penjanaan ekonomi negara. Dengan wujudnya ekonomi yang kukuh dan daya saing yang kuat, proses pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih rancak dan lebih banyak kekayaan negara dapat dikongsikan kepada warga Malaysia yang membawa kepada kenaikan taraf hidup rakyat.
Selain daripada penggunaan sains dan teknologi, Malaysia perlu bertekad untuk menerajui sains dan teknologi dalam bidang-bidang tertentu yang berpotensi supaya meningkatkan lagi daya saing dan keluar daripada perangkap pendapatan tinggi sederhana. Sebagai negara yang kaya dengan sumber asli, kepelbagaian biologi, kemajuan dalam bidang-bidang ini berpotensi menjadi “lautan biru” kepada Malaysia untuk mengatasi negara-negara lain sebagai peneraju.
Untuk terus maju ke hadapan, Malaysia juga perlu menghasilkan lebih ramai pakar-pakar pelbagai bidang dan mewujudkan ekosistem yang baik bagi penyelidikan merentas bidang untuk mencari penyelesaian kepada pelbagai isu di dalam negara. Peluang pekerjaan yang lebih banyak dan lumayan juga perlu disediakan kepada pakar-pakar bagi mengelakkan emigrasi pakar-pakar ke negara lain (brain drain) yang merugikan nagara.
Kesimpulan
Rukun Negara yang terdiri daripada lima cita-cita dan lima prinsip masih relevan kepada pembangunan negara Malaysia. Ianya masih menjadi panduan kepada agensi kerajaan dalam penggubalan dasar-dasar dan perangkaan undang-undang pada zaman kini. Aspirasi dan prinsip-prinsip ini wajib diingati oleh semua warga Malaysia dan diterapkan dalam kehidupan seharian. Hubungan negara dengan rakyatnya adalah saling bersandaran. Segala kejayaan dan kegagalan sesebuah negara adalah tanggungjawab kolektif setiap individu warganegara dan semua akan terkesan daripadanya. Sebuah negara yang stabil, berdaulat, makmur dan progresif adalah aspirasi semua warga Malaysia dan aspirasi ini memerlukan komitmen yang padu daripada setiap warga Malaysia untuk menjayakannya.
Bertarikh : 23 Julai 2021