MAJLIS BELIA MALAYSIA

Artikel MBM : Hukuman Mati Ta’Zir Yang Murni

ARTIKEL

MOHD FARED MOHD KHALID

AHLI JAWATANKUASA KERJA/

PENGERUSI BIRO UNDANG-UNDANG, ADVOKASI DAN HAK ASASI

MAJLIS BELIA MALAYSIA

HUKUMAN MATI TA’ZIR YANG MURNI

 

PEMANSUHAN hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah melalui Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 dilihat sebagai langkah pertama pemansuhan sepenuhnya hukuman mati di Malaysia.

Pemansuhan yang diluluskan Dewan Rakyat pada 30 November 2017 dan Dewan Negara pada 14 Disember 2017 turut disambut baik oleh Kesatuan Eropah (EU) dan wakil negara anggota EU ketika itu.

Kesannya, mahkamah diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara dalam menghukum pengedar dadah sama ada dengan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup.

Namun perlu diingat, pemansuhan tersebut adalah juga diakibatkan pertimbangannya kepada kebanjiran kes-kes keldai dadah yang sebahagiannya terbukti hanya menjadi penghantar tanpa tahu kandungan barang yang dihantar. Ini melibatkan unsur paksaan, perdayaan bahkan mungkin ugutan ke atas mereka semasa menjadi keldai dadah. Parlimen sebagai penggubal undang-undang negara telah berperanan dengan mengambil kira situasi ini. Parlimen telah menjalankan fungsinya yang kena pada waktu dan situasi. Maka pemansuhan hukuman mati ini hanyalah tertakluk kepada situasi dan fakta kes yang tertentu. Di sinilah diletakkan budi bicara mahkamah untuk memberi keadilan yang sewajarnya kepada mereka yang terlibat.

Hukuman mati mandatori di Malaysia adalah secara gantung sampai mati. Mandatori menurut Daftar Istilah Undang-Undang membawa maksud termesti suruhan, mengikat hukuman dan wajib dituruti. Dictionary of Legal Terms pula menjelaskan ianya sebagai memberi arahan dan suruhan dengan kuasa.

Setakat Ogos 2017, seramai 651 orang kebanyakannya pesalah dadah, telah dijatuhkan hukuman mati sejak 1992. Seksyen 277 Kanun Acara Jenayah dengan jelas menetapkan hukuman itu dilaksana dengan digantung leher pesalah sehingga mati. Kegerunan kepada hukuman ini sebenarnya menjadi penapis kepada berlakunya jenayah berat dalam julat yang tidak terkawal di Malaysia. Ia tidak wajar dihapuskan bahkan kegerunan ini molek diteruskan.

Saranan bahkan desakan negara-negara lain untuk Malaysia memansuhkan sepenuhnya hukuman mati tidak perlu dirunsingkan. Bahkan ada yang secara sinis mendesak agar mansuhkan tol dahulu sebelum hukuman mati dihapuskan. Norma dan adaptasi negara-negara tersebut sudah pasti berbeza daripada kita. Tidak perlu sama dalam semua perkara, tidak perlu juga berbeza kesemuanya.

Kanun Keseksaan Akta 574, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah peruntukan undang-undang yang memperuntukan hukuman mati. Karektor kesalahan-kesalahan yang diletakkan padanya hukuman mati adalah kesalahan yang berat, rompakan berkumpulan dan membunuh, penggunaan senjata api, berperang atau perlakuan yang membawa kepada perang dan kemudaratan kepada keselamatan awam juga penderhakaan kepada Yang DiPertuan Agong serta pengedaran dadah.

Sekiranya kesemua kesalahan ini dimansuhkan hukuman mati padanya, sudah pasti bersusun bakal-bakal pesalah yang bersedia dan terpanggil untuk melakukan kesalahan-kesalahan berat tersebut akibat tidak ada lagi kegerunan pada hukumannya. Dan akan bergembiralah para pesalah yang telah disabitkan dengan kesalahan berat kerana pemansuhan hukuman mati ini mungkin mempunyai kesan “retrospektif”. Dari segi istilah, kesan retrospektif adalah menguatkuasakan sesuatu undang-undang secara kebelakang untuk mencakupi sesuatu perlakuan jenayah yang dilakukan sebelum undang-undang tersebut digubal.

Jika ini berlaku, ketidakadilan jelas berlaku kepada diri mangsa dan keluarga mereka. Ini bukanlah Malaysia Baru yang kita harapkan.

Hakikatnya, Islam turut membenarkan hukuman mati sebagai salah satu bentuk hukuman bagi kesalahan ta’zir (kesalahan selain hukuman qisas dan hudud), sekalipun Islam menetapkan bahawa jiwa manusia adalah hak Allah.

Abdul Qadir ‘Audah dalam Al-Tasyri’ Al-Jina’i Al-Islami, Muqaran Bi Al-Quran Al-Wadi mengatakan “Hakim atau pemerintah diberi hak dan kuasa untuk menetapkan keputusan hukuman yang setimpal bagi setiap kesalahan ta’zir”.

Sempena dengan semangat Malaysia Baharu yang mana pemimpinnya menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai ikutan, mari kita jadikan kata-kata Khalifah Umar Abdul Aziz sebagaimana yang dinukilkan oleh Dr. Muhammad Mustafa Shalabi di dalam Ta’lil Al-Ahkam, Dar Al-Nahdah Al-Arabiyyah sebagai panduan “Berbagai bentuk hukuman berat boleh dikenakan ke atas orang ramai sesuai dengan bentuk jenayah yang dilakukan”.

Maka, tiada keperluan untuk hukuman mati dimansuhkan. Kekalkan dan aturlah hukumannya kepada kesalahan-kesalahan yang sememangnya layak dihukum mati. Sesungguhnya, hukuman mati merupakan ta’zir yang murni.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau selaku Ahli Jawatankuasa Kerja MBM dan Pengerusi Biro Undang-Undang, Hak Asasi dan Advokasi MBM. Pandangan beliau tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi MBM.

 

Tarikh            :           5 November 2018

Telefon          :           012 700 7579

E-mel              :           ayahanakanda@gmail.com

 

 

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »