MAJLIS BELIA MALAYSIA

ARTIKEL BELANJAWAN 2021 DAN RANCANGAN MALAYSIA KE-12 PERLU TERUS MEMPERKASAKAN TVET

Bagi menjayakan transformasi Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, Transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) diperlukan sebagai satu suntikan penerokaan minda tenaga kerja tempatan dalam menghidupkan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Ratusan ribu pekerja mahir dalam pelbagai bidang teknikal bakal menghidupkan alam TVET menjelang 2021. TVET dilihat sebagai pencetus masyarakat berkemahiran tinggi.


Tidak dapat dinafikan, sektor pendidikan terutama dalam bidang TVET menerima peruntukan yang tinggi setiap tahun di dalam pembentangan belanjawan. Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia harus terus diberikan peruntukkan signifikan dalam Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12). Peruntukkan sedia di PTPK cuma cabarannya adalah untuk menguar-uarkan dana sedia dan membangkitkan kesedaran belia untuk terlibat memilih TVET sebagai bidang pendidikan dan kerjaya utama mereka.


Selain isu peruntukan signifikan daripada belanjawan tahunan ini, agenda TVET perlu diselaraskan sebaiknya di bawah satu platform utama melibatkan tujuh Kementerian yang mengendalikan TVET dengan 500 institusi latihan di bawah mereka. Kementerian berkenaan ialah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pertahanan.


Selain itu, TVET turut disertai agensi swasta yang menawarkan program teknikal melibatkan lebih kurang 900 institusi berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran dan 12 pusat pembangunan kemahiran negeri.


Melihat kepada jumlah yang banyak ini, MBM mengesyorkan agar pihak Kerajaan terus memberi perhatian kepada Pendidikan TVET di dalam Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia ke-12 akan datang walaupun di sebalik cabaran kemelesetan ekonomi. Apa yang perlu terus dibuat, PTPK harus berkerjasama dengan pihak pemegang taruh dan juga NGO belia seperti Majlis Belia Malaysia (MBM) turun padang sama secara fizikal mahupun secara maya (disebabkan Covid-19) untuk mempromosikan kemudahan pinjaman dan peluang pembelajaran TVET. Selain itu, transformasi TVET memerlukan penyertaan menyeluruh industri dan sektor-sektor swasta untuk memastikan program yang dilaksanakan lebih berjaya. Ia juga merupakan salah satu solusi kepada menangani ekonomi belia era Covid-19 untuk membina kerjaya yang baik.


Sebagaimana yang dipraktikkan di negara maju seperti Jerman dan Singapura, konsep libat urus pihak industri dan institusi dilihat bukan sahaja berjaya melahirkan graduan berkualiti, malah dapat membantu sesebuah institusi latihan itu dari segi pendanaan. Graduan juga berpeluang untuk diserapkan terus ke dalam industri jika mempamerkan prestasi yang baik. Ini bakal meningkatkan lagi nilai kebolehpasaran graduan TVET terutama daripada Pusat Bertauliah Swasta.


Pemerkasaan TVET hari ini juga hasil langkah strategik MBM mempromosi pendidikan itu dalam kalangan belia dengan memperkenal program 1 Belia 1 Kemahiran (1B1K) pada 2010. Program ini berjaya membantu lebih 5000 belia mendapatkan latihan kemahiran di institusi awam dan swasta sejak pelancarannya. MBM dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui UMP Advanced Education (UAE) juga pernah menjalinkan kerjasama dalam menjayakan satu program iaitu 1B1K-UMP Kompeten: TVET Berasaskan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). Inisiatif-inisiatif selain seperti Smart Tech dan Kelateskills turut didokong oleh MBM.

Terbaru, MBM telah berkunjung hormat bertemu dengan Menteri Sumber Manusia YB Datuk Seri M. Saravanan dan agensi-agensi Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan membugarkan komitmen untuk membantu KSM mempromosikan TVET dalam kalangan belia sekaligus menangani isu belia berisiko dan pekerjaan belia. TVET wajar terus menjadi pilihan utama belia.


MOHD HAKIMI MAT HUSIN
Exco Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 23 Oktober 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »